Masjid Telok Kemang Port Dickson
ADAB ISLAM BAGI MENGHADAPI KEMATIAN
UMAR MUKHTAR MOHD NOOR 22 FEBRUARI 2015
Mukaddimah
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian salah seorang tokoh yang dihormati di Malaysia iaitu mantan Menteri Besar Kelantan. Selepas kematian dan pengebumian maka terlalu banyak kenyataan dan juga pandangan serta perbuatan yang kadang-kadang kurang tepat dan tidak sayugia dilakukan oleh seseorang yang beriman.
Bayan Linnas pada kali ini cuba menjelaskan adab-adab yang sepatutnya diambil perhatian oleh kita sebagai umat Islam tatkala berlaku kematian. Semoga dengan pencerahan ini dapat menyelesaikan sedikit kefahaman dan salah faham berkaitan dengan isu ini.
Pertama: Hakikat Kematian
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk : 2)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”
(Surah al-An’am : 94)
Kedua: Menerima Kematian dengan Cara dan Adab Islam
Antaranya
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:
مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُوْلُوْنَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ
Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.
Bersabar dalam menerima berita. Ini kerana menurut dalil ayat di atas, diberi pahala yang besar kepada orang yang bersabar.
Berdoa seperti yang diajar oleh Baginda SAW
اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”
Riwayat Muslim (918)
Ketiga: Solat Jenazah Kepada Si Mati dan Berdoa Untuknya.
Umat Islam menjadi fardhu kifayah ke atas mereka melaksanakan solat jenazah kepada saudaranya yang meninggal dunia. Begitu juga dengan memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya.
Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Antara doa yang diajar
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.”
Riwayat Muslim (963)
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”
Riwayat Abu Daud (3201)
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”
Riwayat Abu Daud 3201, al-Turmudzi (1204) al-Nasai (1986), Ibn Majah (1498) dan lain-lain.
Keempat:Larangan Meratap
Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.”
Riwayat Muslim (67)
Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”
Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)
Mengikut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:
Sekadar tangisan biasa atau kesedihan tidaklah menjadi kesalahan.
Kelima: Larangan Mengandaikan Kematian Dengan Terjadinya Sesuatu Peristiwa
Hal ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila puteranya Ibrahim telah meninggal dunia dan berlaku gerhana maka Rasulullah SAW membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَصَلُّوا وَادْعُوْا حَتَّى يَنْكَشِفَ مَا بِكُم
Maksudnya: “Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”
Riwayat Muslim (904)
Berdasarkan hadith di atas, beberapa pengajaran dapat diambil.
العَيْنُ تَدْمَع، وَالْقَلْبُ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إِلَّا مَا يُرْضِى الرَّبُّ، وَإْنَّا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيم لَمَحْزُونُون
Maksudnya: “Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih dan kami tidak kata kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami atas perpisahanmu hai Ibrahim begitu sedih.”
Keenam: Adab Pujian Kepada Si Mati
Maksudnya, hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ فَقَالَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ثُمَّ قَالَ اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…”
Riwayat Muslim (920)
Begitu juga menyebut kebaikan si mati dengan perkara yang kita ketahui sahaja seperti ramainya jemaah yang mengiringi si mati. Tidak sewajarnya kita menyebut berkenaan perkara ghaib seperti ramai para malaikat mengiringi si mati kerana tidak diketahui kecuali Allah SWT dan apa yang diwahyukan kepada Rasul-Nya SAW semata-mata.
Ketujuh: Cara Islam Menyanjung Orang Yang Mulia
Mungkin akan ada orang bertanya: “Apakah tidak memenuhi suatu maksud umat untuk mengembalikan sebagian keindahan yang pernah dicapai oleh orang-orang besar kita yang telah berhasil mengisi lembaran sejarah yang berharga itu, lantas para pembesar itu diabadikan dalam bentuk patung agar menjadi peringatan generasi berikutnya terhadap jasa-jasa dan keunggulan yang pernah mereka capai? Kerana ingatan manusia pada sesuatu perkara itu sering dilupakan sebagaimana mereka lupa pada peralihan malam dan siang itu?
Untuk menjawab persoalan ini, perlu dijelaskan, bahwa Islam sama sekali tidak suka berlebih-lebihan dalam menghargai seseorang, betapapun tingginya kedudukan orang tersebut, baik mereka yang masih hidup ataupun yang sudah mati.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Maksudnya: "Jangan kamu melampau dalam menghormatiku seperti orang Nasrani menghormati Isa bin Maryam, tetapi sesungguhnya aku adalah hamba-Nya dan katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya."
Riwayat Bukhari (3445)
Mereka bermaksud akan berdiri apabila melihat Nabi, sebagai suatu penghormatan kepadanya dan untuk mengagungkan kedudukannya. Cara seperti itu dilarang oleh Nabi dengan sabdanya:
لَا تَقُومُوا كَمَا تَقُومُ الْأَعَاجِمُ، يُعَظِّمُ بَعْضُهَا بَعْضًا
Maksudnya: "Jangan kamu berdiri seperti orang-orang ajam (selain Arab) yang berdiri untuk menghormat satu sama lain."
Riwayat Abu Daud (5230)
Beliau pun memberikan suatu peringatan kepada umatnya, sikap yang berlebih-lebihan terhadap kedudukan Nabi sesudah beliau mati. Dan dalam doanya kepada Tuhannya beliau mengatakan:
اللَّهُمَّ لَا تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا يُعْبَدُ
Maksudnya: "Ya Allah! Jangan engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah."
Riwayat Malik (85)
Ada beberapa orang datang kepada Nabi s.a.w., mereka itu memanggil Nabi dengan kata-katanya: "Hai orang baik kami dan anak orang baik kami, hai tuan kami dan anak tuan kami." Mendengar panggilan seperti itu, Nabi kemudian menegurnya dengan sabdanya sebagai berikut :
يا أيها الناس، قولوا بقولكم، أو بعض قولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد، عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل
Maksudnya: "Hai manusia! Ucapkanlah seperti ucapanmu biasa atau hampir seperti ucapanmu yang biasa itu, jangan kamu dapat diperdayakan oleh syaitan. Aku adalah Muhammad, hamba Allah dan pesuruhNya. Aku tidak suka kamu mengangkat aku lebih dari kedudukanku yang telah Allah tempatkan aku."
Riwayat Nasa'i dengan sanad yang baik
Agama ini pendiriannya dalam masalah menghormati orang, tidak suka seseorang itu diangkat-angkat seperti berhala yang didirikan dengan biaya beribu-ribu supaya orang-orang memberikan penghormatan kepadanya.
Alangkah besar dosa para pembesar palsu dan ahli sejarah yang memalsukan sejarah serta pengikut-pengikut mereka yang menggunakan ruang yang terbuka ini untuk mendirikan patung-patung berhala bagi mereka sebagai lambang orang besar yang palsu supaya mereka dapat menyesatkan pemikiran rakyat daripada mengenal pembesar yang sebenar.
Keabadian hakiki yang dikenal di kalangan umat Islam hanyalah Allah yang Mengetahui segala yang rahsia dan tersembunyi, yang tidak sesat dan tidak lupa. Sedangkan kebanyakan para pembesar yang namanya diabadikan di sisi Allah adalah orang-orang yang tidak begitu dikenal oleh manusia. Hal ini kerana Allah suka kepada orang-orang yang baik, taqwa dan tidak perlu menampak-nampakkan kepada orang lain. Mereka ini apabila datang tidak dikenal, dan apabila pergi tidak dicari. Sekalipun keabadian itu sangat perlu bagi manusia, tetapi tidak mesti dengan didirikannya patung untuk orang-orang besar yang perlu diabadikan itu.
Cara untuk mengabadikan yang dibenarkan oleh Islam ialah mengabadikan mereka itu ke dalam hati dan lisan, yaitu dengan menyebut kejayaan perjuangan mereka dan peninggalan-peninggalan yang baik-baik yang ditinggalkan untuk generasi sesudah mereka. Dengan demikian mereka itu akan selalu menjadi sebutan orang-orang terkemudian. Rasulullah SAW sendiri dan begitu juga para khalifah dan pemuka-pemuka Islam lainnya, tidak ada yang diabadikan dalam bentuk fizikal dan patung-patung yang terbuat dari batu yang dipahat.
Keabadian mereka itu semata-mata adalah kerana sifat-sifat baiknya yang dikisahkan oleh orang-orang terdahulu kepada orang-orang kemudiannya dan yang disampaikan oleh orang-orang tua kepada anak-anaknya. Sifat beliau itu tertanam dalam hati, selalu disebut dalam lisan, selalu berkumandang di majlis serta memenuhi hati, walaupun tanpa diwujudkan dengan patung dan gambar.
Kelapan: Amalan Yang Boleh Dilakukan Sebagai Sumbangan Orang Yang Masih Hidup Kepada Si Mati
Antaranya adalah
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Siapa yang mati sedangkan ada baginya puasa qadha’ maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat Bukhari (1952) dan Muslim (1147)
Mengikut pendapat mazhab Hanafi, Hanbali dan ulama muta’akhirin di kalangan Syafie dan Malik bahawa sampai pahala daripada orang yang hidup kepada si mati.
Kesembilan: Ziarah Kubur
Dibahagikan kepada dua bahagian.
Pertama: Antara amalan-amalan sunat
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya: “Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusul, ( semoga Allah Ta’ala memberikan rahmat kepada orang-orang yang (telah meninggal) terlebih dahulu diantara kami dan orang-orang yang akan datang.”
Riwayat Muslim (975)
Kedua: Amalan Bid’ah dan Khurafat
Antaranya adalah:
وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُو مِن دُونِ اللَّـهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ
Maksudnya: “Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang berdoa selain dari Allah yang tidak mengkabulkan baginya sehingga Hari Kiamat, sedangkan makhluk-makhluk yang mereka berdoa kepadanya itu lalai terhadap doa mereka.”
(Surah al-Ahqaf: 5)
Marilah sama-sama kita renung sebuah firman Allah SWT:
وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ
Maksudnya: “Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).”
(Surah Faatir: 22)
Al-Maraghi antara lain berkata: “Orang yang berada di dalam kubur (orang kafir) tidak berupaya mendapat hidayah dan seruan. Begitu juga orang musyrik tidak boleh menerima hidayah.”
Muzakarah Fatwa Kebangsaan Berhubung Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar, Melaka
Walaupun fatwa ini khusus untuk isu amalan khurafat di Pulau Besar, tetapi sekurang-kurangnya umat Islam memahami betapa isu khurafat perlu dipandang serius.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan dan perbuatan yang dilakukan di Pulau Besar Melaka adalah merupakan perkara bida’ah dhalalah dan khurafat yang amat ditegah oleh syarak dan perlu dihentikan segera kerana ianya boleh membawa kepada syirik.
Sehubungan itu juga, Muzakarah menggesa supaya tindakan penguatkuasaan bagi membanteras amalan khurafat di Pulau Besar dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka. Penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat awam hendaklah dilaksanakan supaya amalan khurafat yang berleluasa di Pulau Besar tersebut dapat dihentikan.
Penutup
Sesungguhnya mengikut apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya kemudian apa yang difahami oleh para ulama’ lantas mereka menyebarkan kepada ummah dengan sebaik mungkin. Mereka seupaya mungkin mewasiatkan kepada keluarga dan murid-muridnya agar benar-benar perjalanan kehidupan dan kematian disusun atur mengikut syariat dan tidak bercanggah dengan apa-apa yang dilarang samada daripada al-Qur’an dan juga al-Sunnah.
Dengan sebab itulah sewajar kita umat Islam untuk menginsafi apa yang berlaku dengan qadha’ dan qadar Ilahi yang wajib kita terima dengan perasaan sabar dan redha disamping tidak terlatah samada ungkapan, perbuatan dan juga i’tiqad yang pelik yang membawa kepada tidak tepatnya mengikut ajaran dan syariat Islam.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang yang dikasihi yang berlaku di kalangan kita. Saya berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh.
Semoga Bayan Linnas ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua. Amin.
Akhukum Fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment