Oleh: Dr. Ahmed Abdul Hadi Syahin
Dari segi syarak: Berniat atau berjalan ke Mekah dan Baitul Haram untuk mengerjakan ibadah tertentu pada waktu tertentu.
Ibadah haji ialah rukun Islam yang kelima. Kewajipannya dinyatakan di dalam al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’. Hukum haji dimaklumi dari agama dan sesiapa mengengkarinya menjadi kafir. Firman Allah:
“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), Maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. (Ali-Imran: 97)
Firman Allah:
“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”. (Al-Hajj: 27)
Orang yang mengerjakan fardu haji disyaratkan seorang yang mukallaf, iaitu berugama Islam, baligh dan berakal, seorang yang merdeka dan mempunyai kemampuan, iaitu berkeupayaan dari segi material dan fizikal.
Maksud berkemampuan juga, bekalan kebendaan yang mencukupi untuk perjalanannya dan bekalan yang mencukupi untuk tanggungannya yang ditinggalkan sepanjang ibadah haji. Beliau juga mempunyai keupayaan dari segi fizikal untuk menaiki kenderaan, berjalan kaki, menunaikan ibadah haji. Juga bermaksud perjalanan yang selamat.
Para Jumhur ulamak sepakat mengatakan bahawa haji hendaklah disegerakan bagi mereka yang berkemampuan dan bukanlah menangguh-nangguhkannya kerana menangguh-nangguhkannya beserta kemampuan merupakan bahaya yang besar. Ini kerana suasana dan keadaan sentiasa berubah. Oleh sebab itu janganlah memandang remeh dan melambat-lambatkan dalam mengerjakannya jika tanpa sebarang keuzuran syarak.
Di dalam sebuah hadith dari Abu Umamah r.a:
“Orang yang tiada halangan kerana sebab mendesak, sakit yang menghalang atau penguasa yang zalim sehingga dia tidak mengerjakan haji, maka dia mati insya Allah sebagai Yahudi dan insya Allah sebagai Nasrani”. (Al-Munzari di dalam at-Targhib wa at-Tarhib (202/2) dengan Sanad yang sahih)
Haji untuk kali pertama sepanjang umurnya adalah wajib. Manakala lebih dari sekali adalah sunat. Sabda nabi saw:
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji ke atas kamu maka tunaikan haji”. Lalu seorang sahabat bertanya: Adakah setiap tahun wahai rasulullah? Nabi saw menjawab: “Kalau saya katakan ya tentulah menjadi wajib..saya hanya katakan wajib kalau kamu mampu”. (Imam Ibn Hajar di dalam Talkhis al-habir (831/3) daripada Ibn Abbas tetapi sanadnya terputus dan asalnya ada di dalam Sahih Muslim)
Oleh itu mengerjakan haji berulang kali hukumnya sunat. Namun lebih baik perbelanjaan haji digunakan untuk membantu golongan yang lemah, fakir miskin, orang kelaparan dan yang dalam kesusahan di kalangan umat Islam kerana kalaulah harta ini dibelanjakan untuk mereka pastilah dapat menutup ruang-ruang terbuka umat Islam dan memperoleh ganjaran dengan syarat niat yang ikhlas.
Kelebihan dan manfaat haji
1.Menghapuskan dosa dan kesalahan. Di dalam hadith dari Ibn Mas’ud r.a:
“Ibadah haji yang diikuti umrah, maka kedua-duanya boleh menafikan kefakiran dan menghapuskan dosa sepertimana alat pengimpal besi tidak kotor dengan besi. Tiadalah balasan yang setimpal bagi haji mabrur melainkan balasan syurga”. (Tirmizi no 810)
Dalam sebuah lain: Daripada Abu Hurairah r.a:
“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya ”. (Sahih Bukhari No 1521)
Iaitu Allah mengampuni semua dosa-dosanya. Tiada lagi dosa yang tinggal seumpama bayi yang baru lahir.
Hadith daripada ‘Aisyah r.a:
“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya: Iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya : Haji yang mabrur (diterima”). (Sahih Bukhari No 1520)
2. Menghasilkan manfaat ukhrawi seperti zikrullah, tawaf, solat di tanah paling suci di muka bumi dan memuliakan ibadah kepada Allah dan syiarnya. Di dalam hadith:
“Solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali ganda dari solat di tempat lain”. (Bukhari di dalam Tarikh al-Kabir (29/4)
3. Perhimpunan tahunan umat Islam sedunia di Mekah untuk menyatukan barisan mereka, mengeratkan hubungan sesama mereka dan meneliti keadaan golongan-golongan yang lemah di kalangan mereka di seluruh dunia.
4. Menghasilkan manfaat duniawi. Firman Allah:
“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari karunia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu”. (Al-Baqarah: 198)
Iaitu bukan suatu dosa dan kesalahan menjalankan perniagaan, melakukan urusniaga jual beli dan meraih keuntungan selama mana tidak menyibukkannya daripada menyempurnakan fardu haji dan tidak menjerumuskannya ke dalam kealpaan, kerosakan, kefasiqan, pertengkaran dan sebagainya.
5. Di antara manfaat haji ialah menikmati daging hadiah (korban). Semasa haji diharuskan memakan dagingnya dan menghadiahkan kepada orang lain, bersedekah kepada golongan fakir dan memenuhi keperluan golongan yang memerlukannya. Firman Allah:
“ Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu(korban) itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan”. (Al-Hajj: 33)
Kita memohon kepada Allah SWT supaya menerima amal-amal soleh kita.
----------
Penulis adalah seorang professor Dakwah dan Pengajian Islam di Universiti al-Azhar
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=55955&SecID=363
No comments:
Post a Comment