Pensyariatan berperingkat ibadah puasa Ramadan - UTHM

 Pensyariatan berperingkat ibadah puasa Ramada

RAMADAN merupakan satu anugerah dan sebuah hadiah yang paling berharga kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mana bulan ini sangat istimewa kerana Allah SWT mengkhususkannya kepada umat Islam sahaja. Maka inilah saat-saat yang sentiasa ditunggu saban tahun oleh seluruh umat Islam di dunia untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah, meraih sebanyak mungkin pahala, melakukan sebanyak mungkin amal ibadah semata-mata mencari reda-Nya. Saat ini jugalah umat Islam bersungguh-sungguh merayu agar diberikan keampunan dan dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan sambal mengharapkan Allah SWT mengurniakan Syurga Firdaus al-‘Ala.

Perintah ini bermula dari ayat 183 surah al-Baqarah yang mana Allah SWT berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Dalam ayat ini kita dapati Allah SWT menjelaskan bahawa ibadah puasa ini telah diwajibkan ke atas kaum Muslimin sejak daripada zaman Rasullullah SAW sehinggalah sekarang. Namun Allah SWT tidak menjelaskannya secara terperinci tentang puasa mereka kerana ketiadaan nas dan juga bukti yang jelas. Kita tidak mengetahui bagaimana mereka berpuasa? pada bulan apakah mereka diwajibkan berpuasa? dan berapa lama? Namun apa yang pasti, ibadah puasa ini adalah amalan yang sama yang mana ia diamalkan bersama-sama dengan umat-umat terdahulu.

Penjelasan tentang pensyariatan puasa ini diteruskan iaitu pada ayat 184 di mana Allah SWT berfirman: “(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu semua (kaum Muslimin) ada yang sakit atau dalam permusafiran (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

Daripada ayat ini kita dapati Allah SWT telah memberi rukhsah atau perlepasan kepada orang-orang yang tertentu iaitu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang sedang bermusafir. Orang yang mengalami sakit teruk tidak diwajibkan berpuasa kerana dikhuatiri penyakitnya itu dapat memberi lebih mudarat dan menyebabkan semakin berlarutan. Maka mereka diberi rukhsah dalam berpuasa. Manakala orang yang bermusafir juga diberi pilihan sama ada berpuasa atau berbuka. Namun merujuk kepada ungkapan “‘ala safarin” dalam ayat ini, ia menunjuk bahawa rukhsah itu lebih digalakkan kepada orang yang benar-benar perlu melakukan permusafiran bukanlah kerana suka-suka. Jika mereka mampu berpuasa maka hendaklah berpuasa melainkan mereka mengalami keadaan yang menyukarkan seperti dalam cuasa yang sangat panas.

Pada sambungan ayat seterusnya dalam ayat 184, terdapat perbezaan pendapat tentang pentafsiran berkaitan ayat tersebut. Kebanyakan ulama dan pentafsir al-Quran mereka telah mentakwilkan ayat ini dengan mengatakan bahawa ayat ini adalah ayat penafian sedangkan tiada elemen penafian yang zahir seperti ungkapan “la” yang bermaksud tidak, sukar dan berat. Lalu mereka mentakwil ayat tersebut dengan: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (tidak mampu berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.”

Menurut Dr. Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi- rahimahullahu-, seorang ulama tafsir moden yang hampir 60 tahun berkecimpung dalam bidang tafsir al-Quran, beliau mengatakan bahawa kebanyakan para ulama salah mentafsir dalam memahami konteks ayat ini. Menurut beliau maksud ayat ini yang sebenarnya ialah Allah SWT menthabitkan dan menetapkan bahawa orang-orang yang sihat dan mampu berpuasa mereka diberi pilihan sama ada mahu berpuasa atau berbuka. Jika mereka memilih untuk berbuka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu dengan memberi makan seorang miskin.

Berdasarkan pentafsiran ini maka terjemahan yang tepat bagi ayat ini ialah “dan wajib bagi orang-orang mampu berpuasa (yang diberi pilhan sama ada mahu berpuasa atau berbuka, tetapi jika mereka memilih untuk berbuka) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (dengan melebihkan pemberian ketika membayar fidyah), maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa (daripada kamu berbuka kerana diberi pilihan, maka itu) lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Maka berdasarkan pentafsiran ini jelaslah bahawa ibadah puasa ini sebenarnya disyariatkan secara berperingkat yang mana peringkat pertama pensyariatan ini bermula dari ayat 183 sehingga ayat 184. Dengan rukhsah dan pilihan yang diberikan ini, maka jelas menunjukkan bahawa pensyariatan ini bukanlah satu bebanan kepada manusia tetapi hanyalah untuk memberi kebaikan kepada manusia.

Peringkat kedua kewajipan berpuasa dinyatakan dengan jelas dalam ayat 185 Allah SWT yang mana kewajipan ini adalah mutlak tiada lagi pilihan diberikan kepada kaum Muslimin. Maka ayat 185 ini telah menaskhkan ayat sebelumnya iaitu ayat 184. Firman Allah SWT: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.

Dalam ayat ini Allah SWT seakan-akan memujuk hamba-Nya agar tidak merasa kewajipan ini satu bebanan kepada mereka dengan menyatakan kelebihan dan keistimewaan puasa dan bulan Ramadan. Pengulangan rukhsah puasa bagi orang yang sakit dan musafir menunjukan bahawa Allah SWT sangat memahami hamba-Nya. Ayat ini kemudiannya ditutup dengan penyataan bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan hamba-Nya malah memberikan keringanan serta kegembiraan setelah selesai menunaikan ibadah puasa selama sebulan dengan sempurna.

Jelaslah di sini bahawa pensyariatan puasa bukanlah satu bebanan kepada umat Islam, bahkan ia telah diperintahkan dengan ungkapan yang sangat indah dan sesuai dengan fitrah manusia.

  

Abdul Hadi Abd Aziz

Guru Bahasa Arab

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

No comments:

Post a Comment