Pengertian Dua Kalimah Syahadah?

 Pengertian Dua Kalimah Syahadah?

Apakah maksud dan pengertian Dua Kalimah Syahadah?

Dalam artikel ini kami akan menerangkan secara lengkap berkenaan maksud kepada kalimah syahadah ini berserta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan setelah mengucapkan kalimah ini.

Isi Kandungan
  1. Maksud Kalimah Syahadah
  2. Keistimewaan Kalimah Syahadah
  3. Tanggunjawab yang perlu dilaksanakan
  4. Catatan Sejarah
  5. Syarat Penerimaan Kalimah Syahadah
  6. Perkara yang Membatalkan Syahadah

DEFINISI KALIMAH SYAHADAH


Syahadah ( شَهَادَةٌ ) merupakan pecahan dari akar perkataan syahida ( شَهِدَ ) – yasyhadu ( يَشْهَدُ ) – syahaadatan ( شَهَادَةً ) yang membawa maksud kesaksian.  Menurut huraian definisi beberapa kamus arab mengatakan syahadah adalah kesaksian seseorang yang hadir dalam suatu peristiwa dengan memberitahu, menceritakan atau mengakui apa yang diketahuinya melalui pancainderanya sama ada melihat, mendengar, merasa atau menyentuh akan suatu perkara.

Kesaksian adalah salah satu aspek penting dalam proses penghakiman ke atas suatu masalah yang sedang dalam proses perbicaraan. Ia sama penting dengan kewujudan bahan bukti yang berfungsi menguatkan lagi penghakiman ke atas perkara tersebut. Dengan adanya dua perkara ini, ia akan memudahkan hakim untuk memutuskan status tentang suatu masalah yang diajukan kepadanya.

Di dalam Islam, syahadah merupakan pintu gerbang suci bagi seorang manusia untuk menjadi pemeluk agama Islam yang setia. Kalimah tersebut berbunyi:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Maksudnya: “Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah”

KEISTIMEWAAN KALIMAH SYAHADAH


Saidina Umar Al-Khattab R.A. menceritakan bahawa pada suatu hari ketika mana beliau sedang duduk bersama-sama para sahabat dan baginda Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba muncul seorang lelaki berjalan menuju Rasulullah SAW. Lelaki tersebut berpakaian putih bersih, berambut hitam menawan dan tiada sedikit pun tanda orang yang sedang bermusafir oleh kerana tiada seorang sahabat pun yang mengenalinya.

Kemudian lelaki itu duduk di hadapan Baginda SAW sambil menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut baginda dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua peha Rasulullah SAW, lalu ia berkata:

يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ.

“Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.”

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا

Baginda SAW pun menjawab: “Kamu hendaklah bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad SAW adalah utusan Allah, kemudian kamu hendaklah mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah jika kamu mampu.”

Setelah lelaki itu selesai menanyakan beberapa soalan kepada Baginda SAW berkaitan Islam, Iman dan Ihsan, baginda bertanya kepada Saidina Umar R.A.: “Tahukah kamu siapakah lelaki yang bertanya tadi?” Saidina Umar menjawab bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian baginda mengatakan bahawa lelaki tadi adalah Jibril A.S., dia datang di tengah para sahabat untuk mengajarkan mereka tentang tiga perkara tersebut.

Dari sini kita dapat lihat bagaimana keistimewaan syahadah itu sendiri sehingga Malaikat Jibril A.S. sendiri yang datang kepada Nabi Muhammad SAW di tengah para sahabat dan mengajarkannya.

Dan kelima-lima perkara yang diajarkan itu tadi merupakan rukun islam.

TANGGUNGJAWAB


Di sebalik kalimah syahadah yang terdiri daripada dua lafaz pengakuan yang selalu diucapkan oleh lisan manusia, ia mengandungi makna yang besar ketika proses penyebutan lafaz tersebut. Dua perkataan tersebut merupakan JANJI dan SUMPAH SETIA yang hanya dilakukan bagi orang yang betul-betul mengetahui dan yakin dengan apa yang ia lafazkan.

Dapat diibaratkan seperti seorang perajurit tentera yang melafazkan sumpah taat setianya kepada sesebuah angkatan tentera. Lafaz yang diambil oleh komandan dan panglima dari perajurit tersebut menandakan bahawa perajurit itu telah mengetahui, memahami dan bersedia melakukan apa sahaja arahan daripada komandan. Sehingga mereka bersedia mengorbankan harta, jiwa, tenaga, masa atau apa sahaja yang dimilikinya untuk memenuhi panggilan komandan.

Begitulah juga dengan kalimah syahadah, ia bukanlah sekadar kata-kata biasa seperti yang terdapat di dalam perbualan kita sehari-hari. Dengan lafaz ini, ia menjadi syarat awal penerimaan setiap perbuatan yang dilakukan manusia dan diredhai oleh Allah SWT. Dengan melafazkannya, ia bermaksud seseorang itu telah mengetahui, meyakini dan bersedia menerima amanah serta mengorbankan apa sahaja yang dimilikinya demi menegakkan syariat Islam.

Manusia akan mengetahui destinasi akhir mereka setelah melalui perjalanan yang panjang di atas dunia yang fana’ sama ada syurga ataupun sebaliknya. Seperti hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmidzi yang berbunyi:

2638 – عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، أَنَّهُ قَال: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ النَّارَ»

Maksudnya: Dari Ubadah bin Shomit R.A. berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW utusan Allah, maka Allah mengharamkan ke atasnya api neraka.” (HR. Tirmidzi)

Berdasarkan riwayat di atas, jelas menyatakan bahawa salah satu kelebihan bagi orang yang melafazkan kalimah syahadah ialah Allah SWT memberikan pelepasan ke atas mereka daripada jilatan api neraka dari satu sisi. Dari sisi yang lain, mereka mesti berjuang melakukan amal perbuatan dengan mematuhi syariat agar memperoleh redha Ilahi.

Ini bermakna seseorang yang mengucapkan kalimah syahadah perlu sentiasa bersedia berjuang memahami setiap inci di muka bumi ini adalah di bawah pengawasan Allah SWT, sentiasa berusaha menegakkan kalimah Allah, memahamkan umat manusia bahawa setiap aspek perbuatan manusia itu tertakluk kepada syariat yang dibawa oleh Baginda SAW berdasarkan wahyu daripada Allah Azza Wajalla.

CATATAN SEJARAH


Dengan berpegang pada lafaz dan memahami syahadah yang diucapkan, seseorang itu akan tertanam di dalam sanubarinya untuk mempertahankan dan memperjuangkan ikrarnya dengan bersungguh-sungguh. Sebagaimana kisah Amirul Mukminin Khalifah Saidina Umar Al-Khattab R.A. pada suatu malam, beliau melakukan rondaan bersama pembantunya Aslam R.A. di sebuah kawasan perumahan rakyatnya.

Semasa melakukan rondaan untuk melihat sendiri keadaan rakyat di bawah pemerintahannya, tiba-tiba mereka mendengar suara tangisan kanak-kanak dari salah sebuah rumah. Saidina Umar singgah lalu mengetuk pintu rumah tersebut untuk mengenalpasti keadaan isi keluarga tersebut.

Di dalam rumah tersebut, terdapat seorang ibu yang tinggal bersama beberapa orang anaknya yang masih kecil. Kemudian beliau bertanya kepada wanita tersebut apakah punca anak-anaknya menangis. Tanpa segan silu, wanita itu mengajak Saidina Umar masuk ke rumahnya dan menunjukkan periuk yang berisi batu yang sedang direbus. Alangkah terkejutnya Saidina Umar melihat keadaan wanita itu lalu bertanya, “Untuk apakah engkau merebus batu-batu ini?”

Jawapan yang diterima beliau adalah: “Untuk menenangkan hati anak-anakku yang sedang kelaparan dengan melihat aku sedang memasak sesuatu untuk mereka. Dengan harapan, mereka akan tertidur kerana keletihan menunggu masakan ini.”

Lantas Saidina Umar R.A. terus berlari menuju ke Baitul Mal sambil menangis teresak-esak mengambil sebungkus gandum dan beberapa potong daging. Kemudian beliau Kembali ke rumah wanita itu lalu memasaknya dengan tangannya sendiri tanpa bantuan Aslam R.A.

Pada ketika itu, Saidina Umar menangis menyesal sambil berkata kepada Aslam: “Celakalah aku! Masih ada rakyatku yang kelaparan sedangkan aku duduk bersenang lenang di singgahsanaku.” Setelah makanan yang dimasak siap sempurna, beliau sendiri yang menghulurkannya pada wanita tersebut dan anak-anaknya.

Dari sini dapat kita ketahui bahawa perjuangan Saidina Umar R.A. memenuhi tuntutan syahadah yang diucapkannya dengan mentadbir wilayahnya sangatlah berat. Kerana ia merupakan arahan secara langsung daripada Baginda SAW seperti di dalam hadisnya di dalam Sahih Ibnu Hibban yang berbunyi:

4489 – عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:  «كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ: فَالْأَمِيرُ رَاعٍ عَلَى النَّاسِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهِيَ مَسْؤُولَةٌ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ»

Maksudnya: Dari Ibnu Umar R.A., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan kepimpinannya: Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan dia akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi ahli keluarganya, dia akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang perempuan adalah pemimpin bagi isi rumah suaminya, dia akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang hamba juga adalah pemimpin bagi harta tuannya, dia akan diminta pertanggungjawabannya. Ketahuilah bahawa setiap kalian adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya. (HR. Ibnu Hibban)

SYARAT PENERIMAAN KALIMAH SYAHADAH


Untuk menjadikan usaha kita memahami dan melaksanakan syahadah tidak sia-sia, ada beberapa perkara yang perlu dipastikan wujud di dalam diri kita bagi melayakkan kesaksian, janji dan sumpah setia kita sebagai hamba-Nya diterima oleh-Nya.

1. Ilmu

Ketika kita mengucapkan dua kalimah syahadah, kita mesti memiliki ilmu pengetahuan tentangnya. Dengan melafazkan kalimah tersebut, wajib bagi kita memahami maksudnya dan bersedia menerima kesan serta akibatnya. Orang yang jahil (tidak mengetahui) tentang kalimah itu tidak mungkin dapat mengamalkannya.

Oleh kerana itu, kita wajib mempelajari makna Laa Ilaaha Illa Allah seperti perintah di dalam Surah Muhammad ayat 19:


Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Muhammad:19)

2. Keyakinan

Apabila lisan melafazkan kalimah syahadah, hati kita mestilah yakin dengan ucapan tersebut sebagai sesuatu yang kita Imani dengan sepenuh hati tanpa keraguan. Dengan keyakinan, ia akan membawa kita kepada sikap istiqamah dan memenuhi semua tuntutan-tuntutannya.

Sebaliknya, jika tidak yakin atau meragui dengannya, maka sifat kemunafikan akan mula muncul di dalam diri kita secara perlahan-lahan.


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 15)

3. Pelaksanaan

Pelaksanaan tuntutan kalimah syahadah hanya dapat dilaksanakan di dalam perbuatan bagi orang yang memahami maknanya. Setiap muslim yang melafazkan syahadah sepatutnya sentiasa bersedia melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya. Dialah yang akan bertindak sebagai penentu agar hukum dan undang-undang Allah SWT dilaksanakan di dalam diri, keluarga atau masyarakat.


Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (At-Taubah: 105)

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH


Seperti mana sebuah perjanjian, ia akan terbatal jika sesebuah pihak melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan janji dan sumpah setia syahadah ini, ia bukanlah syariat Islam yang boleh ditebang pilih untuk dilaksanakan sesuka hati mengikut kepentingan diri, tetapi ia mempunyai garis panduan untuk memastikan pemeluknya tetap berada di atas jalan kebenaran.

Tidak menyekutukan Allah

Terdapat beberapa perkara yang perlu dijaga sebagai seorang yang melafaz janji dan sumpah setia syahadah, antaranya ialah tidak menyekutukan (mensyirikkan) Allah sama ada di dalam aspek zat, sifat, perbuatan apalagi ibadah.

Menyekutukan Allah secara zat adalah meyakini bahawa sifat-sifat makhluk sama dengan sifat-sifat Allah SWT. Keyakinan ini diyakini dan dianuti serta menjadi pegangan kumpulan mujassimah.

Menyekutukan-Nya secara perbuatan pula adalah meyakini bahawa makhluk yang mengatur alam semesta dan rezeki yang diperoleh oleh manusia. Adapun syirik ibadah adalah menyembah selain Allah SWT, mengagungkannya serta mencintainya sama seperti mengagungkan Allah SWT.

Syirik dalam apa jua bentuk sekalipun telah dan akan ditolak selamanya oleh ajaran Islam agar kebersihan hati penganutnya dapat dijaga daripada terpesong mengikuti ajaran-ajaran yang aneh tersebut.

UNTUK KITA


Beberapa perkara yang dapat kita serap dan terapkan di dalam diri kita untuk memahami syahadah yang sering kita lafazkan:

  1. Sentiasa melakukan amal kebaikan dengan niat hanya kerana Allah SWT.
  2. Patuhi syariat/perintah-Nya dan jauhi larangan-larangan-Nya.
  3. Sentiasa berusaha mendirikan solat di awal waktu.
  4. Tidak menyebarkan perkara-perkara buruk seperti hasad dengki, gossip dan lain-lain.
  5. Meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan dan kehendak (takdir) Ilahi.

Rujukan:

  1. Almaany
  2. Hadis Arba’in An-Nawawi Kedua – Dakwah dan Tarbiah
  3. Sunan At-Tirmidzi
  4. Sahih Ibnu Hibban

No comments:

Post a Comment