Sebab-Sebab Batal Dua Kalimah Syahadah

 Sebab-Sebab Batal Dua Kalimah Syahadah

3 Jamadilawal 1435 Hijriah

Syarat pertama bagi semua jenis ibadah ialah Islam. Ertinya ibadah hanya sah jika dilakukan oleh orang yang beragama Islam. Ibadah tidak sah jika si pelakunya adalah orang kafir atau orang yang telah terkeluar dari Islam. Apakah erti Islam dalam syarat sah ibadah itu?

Pengertian Islam ada 2:-
1) Islam indannas - Islam pada manusia.
Pada pandangan manusia orang itu Islam jika keturunannya Islam, namanya Islam dan budayanya Islam.

2) Islam indallah - Islam pada ALLAH.
Pada pandangan ALLAH orang itu Islam selagi dia tetap berada dalam dua kalimah syahadah.

Melafazkan dua kalimah syahadah adalah rukun Islam yang pertama dan wajib atas setiap orang yang hendak masuk ke dalam agama Islam. Apabila dia telah melafazkan dua kalimah syahadah, maka jadilah dia Islam indallah. Dalam mazhab Syafiee pula, orang yang dilahirkan dalam keturunan Islam, tidak wajib atasnya untuk melafazkan dua kalimah syahadah (kecuali dalam fardu sembahyang ketika tahiyat akhir). Islam dari keturunan adalah Islam indannas dan dia juga adalah Islam indallah selagi dia tidak berbuat sesuatu yang boleh membatalkan dua kalimah syahadahnya.

Isi kandungan dua kalimah syahadah adalah pengakuan terhadap kebenaran ALLAH dan Rasul-NYA, Nabi Muhammad saw. Jika melakukan sesuatu perkara yang menjejas pengakuan ini, maka batallah syahadahnya dan gugurlah statusnya sebagai Islam indallah.

Syarat sahnya ibadah adalah orang itu Islam indallah (dalam dua kalimah syahadah). Orang Islam indannas tidak semestinya menjadi Islam indallah jika dua kalimah syahadahnya telah batal. Syahadah yang batal adalah sama dengan terkeluar dari akidah Islam. Orang yang akidahnya terkeluar dari ajaran Islam dihukum murtad.

Hukum Murtad
Murtad boleh terjadi sama ada seorang itu sengaja atau tidak, berniat atau tidak dan tahu hukum atau tidak. Tidak ada hukum rukhsah (kelonggaran) dalam akidah dan tauhid. Akidah dan tauhid tidak boleh dihina, tidak boleh dipermainkan, tidak boleh dipersendakan dan tidak boleh tersalah cakap. Jika dilakukan, hukum murtad jatuh serta-merta atas si pelakunya. Na'uzubillah,


Orang yang terkeluar dari agama Islam atau murtad terbagi dua iaitu yang sengaja dan yang tidak sengaja. Orang yang dengan sengaja keluar dari agama Islam memang sudah terang niatnya. Orang yang murtad sebegini tahu akan status dirinya yang sudah bukan Iagi Islam indallah. Maka tidak lagi perlu atasnya melakukan segala ibadah yang difardukan ALLAH swt.

Golongan yang kedua ialah orang yang terkeluar dari agama Islam tanpa disengajakan kerana tidak faham hukum. Orang ini tidak akan sedar bahawa dirinya sudah bukan lagi Islam indallah. Dia tidak akan sedar bahawa segala ibadah yang dilakukan selepas dirinya terkeluar dari Islam indallah adalah tidak lagi sah di sisi ALLAH swt. Inilah golongan yang sangat kita bimbangkan terjadi pada diri kita sendiri. Na'uzubillah minzalik.

Apakah sebab-sebab yang boleh menyebabkan seorang itu terkeluar dari Islam indallah tanpa disengajakan atau disedari? Seorang itu boleh terkeluar dari Islam indallah (batal dua kalimah syahadah) melalui 3 perkara ini:-

                            1) perkataan
                            2) perbuatan
                            3) lintasan hati

1) Sebab Perkataan
Perkataan adalah lafaz lidah. Melafazkan sesuatu yang boleh menjejas akidah walau tanpa niat untuk murtad atau sekadar bercanda atau kerana jahil hukum tetap akan membatalkan syahadah dan mengeluarkan orang yang melafazkan itu dari agama Islam. Antara contoh kata-kata yang membatalkan syahadah adalah seperti berikut:-

                            * mengubah cara lafaz dua kalimah syahadah
                            * mempersendakan perkara-perkara rukun iman.
                            * membaca ayat al-Qur'an secara mengejek.
                            * mengaku diri bukan Islam walau main-main atau dalam lakunan
                            * mempersoalkan sifat ketuhanan

Dan banyak lagi kata-kata yang boleh menjerumuskan kita ke arah murtad. Maka hendaklah kita sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata mengenai agama Islam terutama soal akidah dan ketuhanan.

2) Sebab Perbuatan.
Perbuatan yang jelas membatalkan syahadah adalah seperti berikut:-

                            * mengikuti upacara penyembahan agama lain
                            * melakukan perbuatan salib atas diri seperti seperti orang Katolik.
                            * menghina al-Qur'an seperti mengoyak, membakar, membuang atau memijaknya.
                            * memakai sesuatu lambang keagamaan lain

Lambang keagamaan yang haram dipakai:-

                            * cepiau (topi kecil orang Yahudi)
                            * pakaian rahib atau paderi
                            * turban orang sikh
                            * pottu di dahi (amalan Hindu)
                            * benda-benda yang berlambang salib

Lambang-lambang ini semua akan membatalkan syahadah walau dilakukan hanya untuk suka-suka atau dalam lakunan semata-mata. Maka hendaklah menjauhi dari melakukan perkara-perkara yang menyalahi akidah Islam.

3) Sebab Lintasan Hati
Lintasan hati adalah kata-kata dalam hati atau bisikan hati atau angan-angan. Antara contoh-contohnya:-

                          * tidak percaya ALLAH itu wujud.
                          * merasa ALLAH tidak adil kerana orang kafir senang, orang Islam susah.
                          * merasa menjadi orang kafir adalah lebih baik.
                          * percaya semua agama itu sama baiknya.
                          * percaya cerita neraka dan syurga itu karut.
                          * berniat untuk menukar agama jika dapat manfaatnya atau kerana cinta

Dan banyak lagi lintasan-lintasan hati yang mempersoalkan perkara-perkara keimanan (akidah). Ini adalah bisikan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dan mengeluarkan mereka dari syahadanya. Maka hendaklah kita melawan bisikan-bisikan itu dengan menguatkan iman dan keyakinan terhadap akidah tauhid Islam. Cara untuk menguatkan akidah tauhid ialah dengan berilmu. Untuk berilmu adalah dengan belajar.

Jika seorang Islam indannas telah batal syahadahnya, adalah wajib atasnya untuk melafazkan dua kalimah syahadah (iaitu masuk semula ke dalam Islam). Jika tidak dilakukan maka apabila dia berwuduk, wuduknya tidak sah. Jika dia sembahyang, sembahyangnya tidak sah. Jika dia berzakat, zakatnya tidak sah, Jika dia berpuasa, puasanya tidak sah. Jika dia berhaji, hajinya tidak sah. Begitulah seterusnya. Maka sangatlah malang bagi seorang Islam indannas jika dia tidak sedari akan status dirinya yang bukan lagi Islam indallah. Orang sebegini hanya akan sedari nasibnya apabila telah masuk ke alam kuburnya kelak. Na'uzubillah minzalik.

Untuk selamatkan diri, adalah elok untuk kerap amalkan mengucap dua kalimah syahadah. Lafazkanlah syahadah dalam beberapa keadaan:-

**  setiap kali sebelum tidur kerana jika ditakdirkan maut datang ketika tidur, kematian itu adalah kematian dalam Islam indallah.
**  ketika bangun dari tidur supaya sepanjang hari itu kita sentiasa berada dalam keadaan Islam indallah.
**  ketika hendak mendirikan sembahyang supaya sembahyang itu sah kerana syarat Islam terpelihara.
**  pada bila-bila masa saja kita merasa telah berbuat sesuatu dosa terhadap ALLAH.

Selain dari amalkan lafaz dua kalimah syahadah, baik juga untuk amalkan sembahyang sunat taubat serta banyakkan beristighfar memohon ampun dari ALLAH serta banyakkan zikir dengan membaca aamantu billah (aku beriman dengan ALLAH).

Mudah-mudahan dengan mengamalkan perkara-perkara ini, dapat memastikan bahawa diri kita sentiasa berada dalam dua kalimah syahadah dan menjadi bukan sahaja orang Islam indannas tetapi juga orang Islam indallah sehingga ke akhir hayat. Insya-ALLAH. Amin Ya Rabal'alamin.

No comments:

Post a Comment