Umrah Dan Haji

 HAJI

Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah (hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.

 .

Menunaikan Haji

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.

 .

Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)

 .

Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka ruang dan memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya. Ibadat haji adalah satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap Allah secara lebih dekat.

.

Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”

.

Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.

Firman Allah SWT.: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).

.

Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.

.

Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

.

.

Niat Haji dan Umrah

1.  Niat mengerjakan Haji:

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.

2.  Niat mengerjakan Umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya, kerana Allah Ta’ala.

3.  Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Haji dan Umrah serta berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.

.

.

FADILAT HAJI

Antara hadis Rasulullah SAW yang menghuraikan mengenai kelebihan ibadat haji, umrah dan tanah suci Makkah ialah:

  1. Ibadat haji itu dapat menghilangkan dosa sebagaimana air dapat menghilangkan segala daki.
  2. Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat untuk orang yang mengerjakan haji di Baitullah60 rahmat untuk orang yang bertawaf40 rahmat untuk orang yang bersolat dan 20 rahmat untuk yang memandang kepada Kaabah.
  3. Haji yang mabrur ialah pekerjaan haji yang tidak bercampur dengan dosa sejak ihram hingga Tahalul.
  4. Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan dia tidak merosakkannya dengan sebab bersetubuh dan tidak membuat sebarang maksiat, maka pulangnya kelak seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.
  5. Iringilah hajimu dengan melakukan umrah, kerana kedua-duanya akan menghapuskan kemiskinan dan dosa, laksana relau yang membakar hangus segala kotoran besi, emas dan perak.
  6. Tiadalah ganjaran lain bagi haji yang mabrur melainkan Syurga.
  7. Hujjaj dan Ummar  (Jemaah Haji dan Umrah) semuanya tetamu Allah, jika mereka berdoa kepada-Nya akan diperkenankan, jika mereka pohonkan keampunan akan diampunkan.
  8. Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Haji yang mabrur tiadalah lain ganjarannya melainkan syurga.
  9. Sesiapa yang sabar menanggung sakit sehari di Makkah, maka Allah tulis pahala amal soleh yang dikerjakan olehnya di luar Makkah sebanyak 60 tahun.
  10. Sesiapa yang bersabar menanggung satu saat panas siang hari di Makkah, Allah akan menjauhkan dia 100 tahun lamanya di neraka Jahanam.
  11. Sesiapa yang meninggal dalam pelayaran ke Tanah Suci Makkah sama ada waktu pergi atau balik, segala dosanya tidak akan dipamerkan dan tidak akan dikira pada hari kiamat (diampunkan).
  12. Siapa yang meninggal di Makkah seolah-olah dia telah meninggal di langit dunia.
  13. Baitullah ini adalah tunjang Islam, siapa yang keluar kerana mengunjunginya untuk mengerjakan haji atau umrah, dia dijamin Allah, jika dia meninggal ia akan dimasukkan ke syurga-Nya, jika dia pulang, pulang dengan ganjaran dan harta.
  14. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk ibadat haji adalah seperti perbelanjaan untuk fisabilillah, satu dirham digandakan dengan 700 X.
  15. Satu dari tanda-tanda haji yang diterima ialah; Apabila ia melakukan kebaikan dan amalan melebihi dari sebelum pemergian ke Makkah dan tidak lagi terdorong ke arah perkara-perkara maksiat.

.

.

.

.

SYARAT WAJIB SAH HAJI

Haji diwajibkan sekali sahaja seumur hidup, apabila memenuhi syarat:

  1. Islam
  2. Baligh dan berakal (Mukallaf).
  3. Merdeka
  4. Berkemampuan dan berkuasa.
  5. Wanita mesti mendapat izin suami atau wali, dan ditemani oleh suami, mahram atau wanita yang dipercayai.

 .

 .

RUKUN HAJI

1.  Niat ihram
2.  Berwukuf di Arafah.
3.  Tawaf  Ifadah.
4.  Saie di antara Shafa dan Marwah.
5.  Bercukur atau bergunting rambut (Tahalul).
6.  Tertib pada kebanyakan rukun.

Jika tertinggal salah satu rukun atau tidak mengikut syaratnya maka Haji / Umrahnya TIDAK SAH (BATAL) dan terpaksa mengqadakannya semula dengan segera kerana masih di dalam ihram (pantang larang).

.

.

BATAL HAJI

  1. Tidak melakukan semua rukun haji dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya.
  2. Tidak melakukan dan hadir sendiri di tempat ibadat dan dalam masa yang ditetapkan, walaupun boleh dengan bantuan orang lain.
  3. Melakukan persetubuhan semasa ihram kecuali sesudah tahallul awal.
  4. Hilang akal atau pengsan sepanjang menunaikan haji.
  5. Membatalkan niat ibadat oleh sesuatu keadaan.
  6. Murtad.

.

.

SYARAT WAJIB MENGERJAKAN HAJI

  1. Niat ihram di Miqat.
  2. Menjaga larangan dalam ihram.
  3. Bermalam di Mudzalifah.
  4. Melontar Jamrah Al-Aqabah.
  5. Bermalam di Mina.
  6. Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq.

Sekiranya tertinggal salah satu daripadanya HAJI / UMRAHNYA SAH tetapi diwajibkan dam

.

SIMBOLIK RUKUN DAN WAJIB HAJI (Klik Di Sini)

.

.

Slide Haji Dan Umrah

Ibadat Haji & Umrah Jenis Haji & Umrah

.

.

Artikel Seterusnya Klik Tajuk-Tajuk Di Bawah…

JENIS-JENIS HAJI  (Klik Di Sini)

IHRAM  (Klik Di Sini)

MIQAT   (Klik Di Sini)

TAHALUL  (Klik Di Sini)

TAWAF  (Klik Di Sini)

SAIE  (Klik Di Sini)

WUKUF DI ARAFAH   (Klik Di Sini)

DOA MALAM ARAFAH   (Klik Di Sini)

MABIT DI MUDZALIFAH   (Klik Di Sini)

MELONTAR   (Klik Di Sini)

DAM   (Klik Di Sini)

.

.

HIKMAH HAJI

  1. Menghapuskan dosa dan membersihkan jiwa.
  2. Mendapat keampunan dan ganjaran daripada Allah.
  3. Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
  4. Memahami dan mengayati sejarah kecemerlangan Islam dengan mendalam.
  5. Melahirkan rasa syukur atas nikmat harta dan kesihatan yang diberikan Allah.
  6. Menimbulkan rasa keinsafan di dalam hati kerana ketika mengerjakan haji, kerana semua hamba Allah itu sama saja keadaannya dan tanggungan beban sama ada yang kaya, miskin, raja atau rakyat biasa.

No comments:

Post a Comment