Masjid Telok Kemang Port Dickson
BINGKISAN BUAT MEREKA YANG AMAT TERTEKAN HINGGA BERCADANG MEMBUNUH DIRI
NATASYA NOH 07 JULAI 2021
Ringkasan Artikel:
Manusia yang sedang diuji secara fitrahnya akan merasa putus asa ke tahap bercita-cita untuk mati atau lenyap. Islam melalui kalam Allah mengiktiraf perasaan ini. Namun, perasaan ini perlu disalurkan dengan cara yang betul sebelum terjebak kepada perbuatan yang melanggar syarak seperti membunuh diri atau mencederakan tubuh badan sendiri.
Mengadu kelemahan kepada Allah SWT adalah langkah pertama untuk meredakan keserabutan di jiwa. Apabila kita mengakui perhambaan kepada Allah, kita telah menyerahkan diri kepada satu kuasa agung yang Maha Hebat.
Mengenalpasti punca terdetiknya pemikiran sebegini juga akan membantu menguruskannya secara berhemah. Perlu diingat bahawa pemikiran sebegini tidak akan terdetik pada waktu kebiasaan. Pertolongan mesti didapatkan daripada orang lain atau pakar kerana ia juga salah satu cara mencari penawar yang digalakkan dalam Islam. Kita perlu normalisasikan perbuatan merujuk kepada pakar kesihatan mental seperti psikiatris, psikologis klinikal, kaunselor berdaftar dan sebagainya bagi isu sebegini.
Isu kesihatan mental tak kurang pentingnya dengan kesihatan fizikal. Apabila seseorang patah kaki, rawatan dan terapi akan diberikan bagi membolehkannya berjalan semula. Begitu lah juga kesakitan minda. Terapi dan rawatan diperlukan bagi membolehkan seorang individu memiliki keupayaan untuk berfungsi seperti biasa. Ia sama sekali tidak bermaksud individu tersebut telah menjadi gila.
Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Pandemik covid-19 sememangnya memberi kesan yang besar kepada kita semua dari segenap sudut. Kita semua sedang diuji dengan wabak yang tidak nampak jelas di mata, tetapi membawa kesan yang teramat dahsyat. Setiap hari, semakin ramai individu yang merasa putus asa dengan hidup. Tak kurang ramai juga yang mengalami stress secara melampau.
Manusia secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan dengan ujian yang besar dalam hidup. Saidatina Maryam juga merasai perkara yang sama ketika beliau melahirkan Nabi Isa A.S dalam keadaan bersendirian dan tidak memiliki suami.
فَحَمَلَتْهُ فَانتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا(22) فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيَّا (23)
Maksudnya: Maka Maryam pun hamil, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya ke sebuah tempat yang jauh. (22) (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit bersalin itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini lalu aku menjadi seorang yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang orang! (23)
Surah Maryam (22-23)
Kata-kata Saidatina Maryam yang direkodkan dalam al-Quran menunjukkan bahawa manusia yang sedang diuji secara fitrahnya akan merasa putus asa ke tahap bercita-cita untuk mati atau lenyap. Ia adalah terjemahan sakit emosi yang tidak jelas di mata kasar. Islam melalui kalam Allah mengiktiraf perasaan ini. Namun, perasaan ini perlu disalurkan dengan cara yang betul sebelum terjebak kepada perbuatan yang melanggar syarak seperti membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.
Perbincangan Hukum Syarak Mengenai Perbuatan Membunuh Diri
Hukum membunuh diri disebabkan berputus asa dengan kehidupan adalah haram. Perkara ini semestinya sudah maklum di pihak saudara/saudari melihat kepada soalan yang diajukan. Kami bawakan sebahagian hadis yang menyebut berkenaan ini. Antaranya:
عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ، قَالَ أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ
Maksudnya: Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah dihadapkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh dirinya sendiri menggunakan sebatang anak panah. Baginda tidak mendirikan (solat jenazah) ke atasnya.
Riwayat Muslim (978)
Daripada hadis lain yang diriwayatkan oleh Jundub RA, Nabi SAW bersabda:
كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisau, lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan mati dengan dirinya sendiri, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”
Riwayat al-Bukhari (3463)
Menurut riwayat hadis yang lain, Baginda SAW menjelaskan tentang akibat dan siksaan atas mereka yang membunuh diri dengan sengaja. Baginda SAW bersabda:
منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”
Riwayat Muslim (109), Sunan al-Tirmizi (2044)
Antara ciri-ciri dosa besar ialah ancaman keras terhadap pelakunya. [1] Namun, persoalan yang lebih penting ialah bagaimanakah cara kita mengelakkan diri daripada terjebak dalam perbuatan ini?
Bingkisan Buat Mereka yang Sangat Tertekan dengan Situasi Sekarang
Memupuk sabar dalam diri tidak semudah menyebutnya dengan lidah. Apabila seorang individu bercita-cita atau bercadang untuk lenyap daripada muka bumi, ini menunjukkan kesabarannya telah teruji di tahap yang teramat tinggi. Mengadu kelemahan kepada Allah SWT adalah langkah pertama untuk meredakan keserabutan di jiwa.
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Surah al-Ra’d (28)
Para nabi dan rasul terdahulu juga mengadu ketidakmampuan kepada Allah. Antaranya, kisah Nabi Yaakub AS yang kehilangan anak Baginda; Nabi Yusuf AS yang diceritakan dalam al-Quran. Firman Allah:
قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: (Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Surah Yusuf (86)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga merakamkan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat RA mengadu kepada Allah ketika dalam kesusahan. Firman Allah:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ ﴿٢١٤﴾
Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Surah al-Baqarah (215)
Apabila kita mengakui perhambaan kepada Allah, kita telah merendahkan diri kepada satu kuasa agung yang Maha Hebat. Ia akan memberi kekuatan dalaman kerana kita bersandar kepada Yang Maha Berkuasa. Nabi Musa AS melakukan perkara ini sewaktu Baginda berada dalam keadaan teramat penat dan keseorangan apabila Baginda diburu oleh kaumnya. Sewaktu Baginda bersandar dari kepenatan, kelaparan dan kesunyian tersebut, Baginda melafazkan:
ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya: “…kemudian beliau pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".
Surah al-Qasas (24)
Selain itu, penting untuk kita kenalpasti terlebih dahulu punca bagi pemikiran sebegini. Setiap individu memiliki sebab yang tersendiri seperti masalah rumahtangga, kehilangan punca pendapatan, kesempitan hidup, masalah keluarga, tidak memiliki sokongan moral yang mencukupi, tekanan daripada insan sekeliling, menghidap mana-mana kecelaruan mental dan sebagainya. Pertolongan mesti didapatkan daripada orang lain atau pakar kerana ia juga salah satu cara mencari penawar yang ditekankan dalam Islam.
Bagi isu kali ini, pemikiran untuk lenyap daripada muka bumi adalah suatu yang ekstrem. Maka, ia perlu diserahkan kepada pakar untuk menilai dan mencadangkan rawatan yang sesuai. Kita perlu normalisasikan perbuatan merujuk kepada pakar kesihatan mental seperti psikiatris, psikologis klinikal, kaunselor berdaftar dan sebagainya. Langkah pertama ialah dengan pergi ke Klinik Kesihatan untuk meminta surat sokongan mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri mana-mana hospital. Islam sendiri menekankan keperluan mencari penawar. Bagi isu sebegini, bidang psikiatri memiliki keahlian.
Tidak perlu merasa malu atau rendah diri untuk mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri. Isu kesihatan mental tidak kurang pentingnya dengan kesihatan fizikal. Apabila seseorang patah kaki, rawatan dan terapi akan diberikan bagi membolehkannya berjalan semula. Begitu lah juga kesakitan minda. Terapi dan rawatan diperlukan bagi membolehkan seorang individu memiliki keupayaan untuk berfungsi seperti biasa. Ia sama sekali tidak bermaksud individu tersebut telah menjadi gila.
Kesimpulan
Marilah renungi cerita dan ganjaran Allah buat orang yang sabar. Sesungguhnya, dunia bukanlah medan nikmat, tetapi medan ujian buat orang yang beriman.
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”
Surah al-Mulk (2)
Sabda Rasulullah SAW:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Maksudnya: “Dunia adalah penjara orang beriman, dan syurga buat orang kafir”
Riwayat Muslim (2956), Ibn Majah (4113), dan al-Tirmizi (2324)
Namun, segala pengorbanan dan sabar bukanlah sia-sia. Bahkan, ia menatijahkan sesuatu yang besar di hari kemudian. Sebagai seorang Muslim yang mempercayai hari pembalasan, kita seharusnya meyakini bahawa tiada suatu yang kita lakukan di sisi Allah tanpa imbalan. Firman Allah SWT:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
Surah al-Mu’minun (115)
Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran dan jalan keluar kepada kita semua. Ameen. Wallahu a’lam.
[1] Ibn Hajar al-Haitami, al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, cetakan pertama, 1356h, Kaherah: Tab’ah Hijazi.
No comments:
Post a Comment