HIKMAH DAN FAEDAH HAJI SERTA UMRAH
HIKMAH DAN FAEDAH HAJI SERTA UMRAH
Allah telah mensyariatkan pelbagai syariat untuk hamba-hamba-Nya. Dijelaskan kepada mereka segala hukum untuk memenuhl kepentingan jangka pendek dan jangka panjang dalam urusan keagamaan dan keduniaan mereka. Al-Quran yang mulia telah menyatakan perkara ini sewaktu menyebutkan tentang haji yang membawa kepada wujudnya manfaat dan kepentingan bagi manusia. Firman Allah Taala;
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebult nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadlikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang-orang yang susah, yang fakur miskin. ” .
(Al-Hajj: 28)
Ibnu Abbas r.a. berkata sewaktu mentafsirkan ayat ini: “Ia adalah manfaat dunia dan akhirat, manfaat akhirat ialah keredhaan Allah Taala. Manfaat dunia ialah apa yang mereka perolehi iaitu unta, sembelihan dan perniagaan.”
Pada hakikatnya, kalau kita mahu menghuraikan lagi kata-kata Ibnu Abbas dan menghitung manfaat agama dan dunia yang telah dinyatakan oleh al-Quran, maka kita akan dapati pelbagai manfaat, antaranya:
- Menghidupkan hakikat persaudaraan Islam dan menzahirkannya di alam realiti. Dalam masalah ini, perbezaan bahasa dan sempadan negara tidak memberikan kesan. Sebaik-baik cara dan tempat untuk menghidupkan pertemuan ini ialah disekeliling Baitullah; mereka melakukan doa yang satu untuk Tuhan yang satu ke arah yang satu.
- Perhimpunan orang-orang Islam.‘ Ketahuilah bahawa agamg tertegak di atas kesatuan dan kasih sayang sesama muslim. Oleh itu Allah Taala menjadikan kebanyakan ibadat yang disyariatkan sebagai cara untuk mewujudkan pertemuan antara mereka.
Dijadikan pertemuan yang berulang-ulang lima kali sehari di peringkat satu kampung dalam satu bandar dan untuk menyusun pertemuan tersebut disyariatkan sembahyang berjemaah.
Dijadikan untuk mereka pertemuan lain yang berulang sekali seminggu di peringkat satu bandar, dan untuk menyusun pertemuan tersebut disyariatkan sembahyang Jumaat.
Dijadikan untuk mereka pertemuan lain yang berulang setahun sekali di peringkat antarabangsa, dan untuk mellyusun Pertemuan tersebut disyariatkan haji ke Baltullahil Haram. - Mengikat seluruh umat Islam dari seluruh dunia dengan Makkah al-Mukarramah; tempat terbitnya Islam dan daripadanya berpusat sinaran Tauhid ke seluruh alam untuk menjadi lambang kesatuan dan mengukuhkan pegangan mereka walau bagaimana jauhnya negeri mereka
- Menjadi salah satu lambang persamaan sesama muslim (orang Islam). Dengannya, pelbagai factor yang membezakan sesame manusia dan menyebabkan mereka bermegah dalam berpakaian dan tempat tinggal tunduk melutut. Di Arafah, begitu juga di Mina, sewaktu melontar Jamrah dan ketika tawaf, ketika suasana tersebut orang kaya hampir tldak kelihatan dan orang fakir tidak dikenali, tuan sama dengan hamba, khadam sama dengan tuannya… dan semua berada dalam suasana limpahan rohani yang satu iaitu keinginan mendekati Allah dan memperolehi keredhaan-Nya. Inilah suasana yang cukup indah yang mengingatkan kepada permulaan manusia berada di dunia; sewaktu keluar dari perut ibu. Semuanya dalam keadaan yang sama, tiada beza di antara mereka. Ia juga mengingatkan kepada hari akhirat; sewaktu manusia berdiri di hadapan Allah dalam keadaan berkaki ayam dan telanjang tanpa ada pangkat dan keturunan.
- Haji merupakan sebesar-besar peringatan yang mengingatkan muslimin (orang-orang Islam) kepada keadaan bapa-bapa mereka dan para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Setiap tempat ditunaikan haji mempunyai ikatan yang rapat dengan peristiwa yang mencetuskan banyak ingatan dalam diri jemaah haji. Di sisi Baitullah menjelmalah dalam pemikiran seorang mukmin Nabi lbrahim dan Nabi Ismail sedang membina Baitullah dan menjelmalah gambaran Nabi s.a.w. sedang mencium Hajarul Aswad dan menjatuhkan berhala-berhala yang tersungkur dalam keadaan yang terhina. Di Shofa dan Marwah seorang muslim mengingati Hajar a.s. yang berlari di antara keduanya untuk mencari air bagi anaknya Ismail. Di Mina, di sisi jamrah mereka menghayati sikap Nabi Ibrahim yang sedang menentang syaitan dan menolak rayuannya. Baginda merejamnya dengan anak-anak batu dan melaksanakan perintah Allah iaitu menyembelih anaknya yang telah diwahyukan kepadanya melalui mimpi. Di Arafah terdetik di hati mukmin keinginan mendapatkan rahmat Allah clan harapan memperolehi ampunan-Nya. Tidak luput daripada pandangannya suasana indah wukuf Rasulullah s.a.w. ketika Hajjatul Wada’; sewaktu Baginda berada di atas untanya memberi nasihat kepada orang-orang Islam, berkhutbah dan menggariskan prinsip-prinsip hidup yang unggul, persamaan yang adil dan ukhuwah yang sebenarnya. Baginda juga memberi amaran agar mereka tidak kembali kepada keburukan jahiliyah:“Wahai manusia sesungguhnya Tuhan kamu satu, semua kamu daripada Adam dan Adam daripada tanah. Tidak ada kemuliaan bangsa Arab ke atas bangsa bukan Arab melainkan dengan takwa. lngatlah jangan sekali-kali kamu kembali menjadi kafir selepas kewafatanku, di mana kamu akan rnemenggal leher sesama kamu.”
- Manfaat tambahan kepada semua ini ial-ah rezeki yang diperolehi oleh orang-orang fakir di negeri itu pada musim yang mulia ini; rezeki yang mencukupkan keperluan mereka selama setahun sebagai memenuhi seruan Nabi Ibrahim a.s. sewaktu Baginda berdoa : “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya di sisi rumah-Mu di Tanah Haram (Makkah). Wahai Tuhan kami, (yang demikian) supaya mereka mendirikan sembahyang. Maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka clan kurniakanlah rezekikepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
(Ibrahim: 37)
- Haji adalah tarbiah bagi jasad untuk hidup dalam keadaan susah, memikul keperitan dan sabar terhadap perkara yang tidak disukai. Juga mentarbiah akhlak untuk merendah diri, bertolak ansur, pergaulan yang baik dan saling memaafkan. Mentarbiah jiwa untuk berkorban, berusaha, bersedekah dan berbuat baik. ~ Mentarbiah perasaan supaya berada dalam keadaan suci dan muraqabah Allah s.w.t.. Firman Allah Taalaz
“(Musim) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Sesiapa yang mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, inaka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat serta tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan nescaya Allah mengetahuinya. Dan berbekallah dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah ketakwaan dan bertakwalah kepada aku wahai orang-orang yang berakal.”
No comments:
Post a Comment