Kaedah Pengajaran Ibadat Haji kepada Orang Awam
Amran
bin Mat Arriffen Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
Mohd
Isa bin Hamzah Universiti
Kebangsaan Malaysia
Mohd
Aderi bin Che Noh Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam
yang wajib ditunai oleh setiap individu muslim yang berkemampuan. Selain
daripada kesihatan yang mengizinkan dan perbelanjaan yang mencukupi, bakal haji
perlu mempersiapkan diri dengan ilmu manasik haji dengan sebaiknya. Kajian ini
dijalankan adalah bertujuan untuk membincangkan kaedah pengajaran ibadat haji
kepada orang awam yang berpandukan Modul Bimbingan Haji Bersepadu. Bagi
mencapai tujuan tersebut, kajian ini menggunakan kaedah keperpustakaan iaitu
dengan merujuk bahan-bahan ilmiah seperti buku, jurnal, kertas kerja seminar, surat dan laman web yang berkaitan
dengan kajian. Kajian mendapati pengajaran ibadat haji kepada orang awam
dijalankan oleh pengkursus yang bertauliah dan mempunyai kemahiran dalam manasik
haji. Kajian ini juga mendapati pengkursus menggunakan kaedah pengajaran bersesuaian
dengan orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang iaitu kaedah syarahan,
kuliah, penerangan, bercerita, dialog, perbincangan, soal jawab, tunjuk cara,
demonstrasi dan simulasi. Kursus haji yang dijalankan oleh Bahagian Bimbingan
Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji sangat membantu orang awam untuk mengerjakan
rukun Islam yang kelima dengan sempurna. Implikasinya, kajian ini dapat memberi
input penting bagi meningkatkan lagi kualiti bimbingan haji khususnya daripada
aspek kaedah pengajaran.
KATA KUNCI: Kaedah Pengajaran, Tabung Haji, Ibadat
Haji, Kursus Haji
Pengenalan
Setiap tahun puluhan ribu rakyat Malaysia
mengunjungi Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Kebanyakan mereka
yang terpilih ke tanah suci adalah terdiri daripada kalangan orang awam yang
berumur 50 tahun ke atas. Oleh itu, persediaan daripada pelbagai aspek perlu
dilakukan bagi menjamin kemabruran haji terutamanya berkaitan dengan manasik haji. Sehubungan itu, Bahagian
Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung haji bertanggungjawab untuk mengadakan
program pembangunan jemaah haji yang melibatkan orang awam di seluruh Malaysia.
Bagi melaksanakan program ini, satu Modul Bimbingan Haji Bersepadu (MBHB) telah
disediakan melalui empat kursus yang dijalankan iaitu Kursus Asas Haji (KAH),
Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji
(KPH) (www.tabunghaji.gov.my/bimbingan).
MBHB yang digunakan untuk bimbingan haji kepada
orang awam mengandungi tiga bahagian penting iaitu Ibadat Haji, Kesihatan dan
Pengurusan Haji di Tanah Air dan Tanah Suci. Bahagian Ibadat Haji merangkumi
topik-topik berikut iaitu Falsafah dan Penyucian Jiwa, Sejarah dan Pengenalan
Tanah Suci dan Kelebihan, Pengenalan Haji dan Umrah, Rukun Haji, Wajib Haji,
Aurat dan Izin Suami, Ibadat Umrah dan Niat Bersyarat, Taharah dan Solat,
Permasalahan Darah Wanita, Tawaf Wada’ dan Ziarah Madinah dan Amali Ibadat
Haji. Modul KAH mula dilaksanakan pada tahun 2014. Hasil daripada keputusan
Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (JAKIM-TH) Bil.2. 1435H pada 27
hingga 30 Disember 2013 yang meluluskan modul tersebut. Objektif KAH
dilaksanakan ialah untuk memberi pendedahan dan panduan ibadat haji dan umrah
kepada bakal haji serta perkara berkaitan dengan pengurusan haji dan penjagaan
kesihatan. Ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan persediaan awal
sebelum bakal haji berangkat ke Tanah Suci dan seterusnya membantu mereka
mendapat haji mabrur (www.tabunghaji.gov.my/bimbingan).
Modul KAH mengandungi 15 topik berkaitan
dengan ibadat haji dan umrah yang melibatkan 30 jam kredit dan 2 topik
berkaitan dengan pengurusan dan kesihatan. Manakala dalam KIH topik ini disampaikan dalam masa 2 hari yang melibatkan
10 jam kredit. KAH terbuka kepada semua orang awam, manakala KIH hanya kepada
jemaah haji yang telah terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut
(www.tabunghaji.gov.my/bimbingan). Oleh itu, bagi memastikan objektif kursus
tercapai, peranan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dalam pengajaran dan
pembelajaran (PdP) adalah amat mencabar terutamanya apabila berhadapan dengan
orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman.
Sehubungan itu, kajian ini dilakukan untuk membincangkan tentang kaedah
pengajaran yang digunakan oleh PEKTA semasa menyampaikan kursus haji kepada
orang awam. Bagaimanakah seseorang itu boleh dilantik untuk menjadi PEKTA dan apakah
kaedah yang bersesuaian digunakan oleh PEKTA dalam PdP ibadat haji? Apakah
impak kaedah berkesan dalam pengajaran ibadat haji ini?
Kerangka Konsep
Kaedah bermaksud
suatu langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu. Pengajaran pula
bermaksud segala aktiviti yang dilakukan oleh seseorang untuk menghasilkan
perubahan tingkah laku yang kekal dalam diri orang lain. Secara umumnya kaedah
pengajaran adalah suatu proses yang berorientasikan matlamat yang dirancang
terlebih dahulu (Abd. Rahim 2002). Kaedah pengajaran seperti syarahan, kuliah,
soal jawab, bercerita, lakonan, penerangan, perbincangan dan sebagainya. Haji
ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk
mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Ibadat haji
merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim
yang mukallaf. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi
syarat-syaratnya (Lembaga Tabung Haji 2015). Berdasarkan pengertian tersebut
dapatlah dirumuskan bahawa kaedah pengajaran ibadat haji adalah suatu proses
yang disusun secara sistematik dalam menyampaikan ilmu, kefahaman dan
permasalahan ibadat haji kepada masyarakat. Ianya merupakan suatu kewajipan
yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana tidak akan sempurna
ibadat haji seseorang tanpa ilmu mengenainya. Oleh itu, kaedah pengajaran
merupakan salah satu kompenan penting untuk mencapai objektif kursus haji.
Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air
Kursus haji kepada orang awam dikendalikan oleh pengkursus bertauliah yang
dilantik oleh Bahagian Bimbingan Tabung Haji. Sebelum mereka mengendalikan
kursus ini, PEKTA perlu mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada
pejabat-pejabat mufti negeri. Kemudian
mereka dikehendaki menghadiri temuduga yang dikendalikan oleh Bahagian
Bimbingan untuk mendapatkan Kad Tauliah Mengajar Haji dan Umrah. Kad ini akan
diberikan setelah mereka berjaya dalam ujian bertulis dan ujian lisan, menghadiri
Kursus Training of Trainers (TOT) Pengkursus Baharu, Kelas Intensif Tafaqquh
Haji dan Umrah dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Bagi memastikan setiap
PEKTA dapat melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik
dan berkesan untuk membimbing jemaah haji, satu program usahasama antara Tabung
Haji dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diperkenalkan pada tahun
2009 iaitu Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH).
Peranan PEKTA amat penting
untuk memberi kefahaman yang jelas kepada peserta tentang ibadat haji. Selain
daripada kaedah yang bersesuaian, PEKTA perlu menguasai kandungan modul ibadat
haji dengan baik supaya penyampaian lebih berkesan dan menyakinkan peserta.
Mereka berperanan untuk menjelaskan kepada peserta sehingga mereka mampu
menggambarkan kronologi perjalanan haji ini dengan baik. PEKTA berperanan seperti seorang guru, di mana mereka hendaklah menghayati
konsep muallim, muaddib dan murabbi dalam kursus ibadat haji (Othman 2016). Oleh itu, seseorang pengkursus bertanggungjawab menyampaikan ilmu,
maklumat dan hikmah, pada masa yang sama mereka berperanan untuk membentuk
akhlak para peserta kursus dengan akhlak Islamiah dan sifat mahmudah. Proses
ini dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga terbentuknya jiwa hamba
yang taat dan berjaya di dunia dan akhirat. Inilah persiapan awal yang perlu
ditekankan oleh PEKTA dalam PdP ibadat haji
sebelum jemaah ke Tanah Suci.
PEKTA sebagai pembimbing haji, mereka perlu
memiliki personaliti cemerlang iaitu ikhlas dalam menjalankan tugas, mempunyai
sikap untuk memajukan diri, bekerjasama sebagai satu pasukan, mengutamakan
pelanggan, mempunyai sifat kreativiti dan inovasi, akuantibaliti dan cintakan
ilmu (Othman 2016). Mereka dilarang daripada membuat sebarang
bentuk promosi dan janji syarikat semasa memberi ceramah (Surat Pelantikan
Pengkursus KAH 2016). Selain daripada mempunyai personaliti cemerlang, PEKTA
juga menguasai ilmu metodologi pengajaran agar penyampaiannya lebih berkesan
dan dapat menarik minat orang ramai menghadiri KAH yang dijalan secara terbuka
di masjid-masjid terpilih. Oleh itu, PEKTA telah didedahkan dengan pembelajaran
dewasa iaitu berdasarkan teori andragogi. Menurut Othman (2016) para peserta hendaklah mengetahui kepentingan kursus ibadat haji ini kepada
mereka, peranan PEKTA dan peserta dalam proses pembelajaran ini. Tujuannya
adalah untuk menarik perhatian dan fokus peserta kepada PdP ibadat haji.
Kaedah Pengajaran Ibadat Haji
Peserta kursus haji terdiri daripada kalangan
orang awam yang mepunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman
kerjaya. Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan pengajaran ini, para PEKTA hendaklah
mengamalkan kepelbagaian gaya pembelajaran dan berusaha untuk memenuhi kehendak
peserta seperti konsep V.A.K (Visual,
Auditori dan Kinestetik). Kaedah visual iaitu dengan menggunakan gambar, video,
carta, model dan diagram semasa menyampaikan PdP ibadat haji. Manakala kaedah
auditori adalah dengan menyampaikan syarahan dan bercerita, memperdengarkan
rakaman dan muzik, menggalakkan soal jawab dan perbualan dengan para peserta.
Kaedah kinestatik pula melibatkan pergerakan, bersifat praktikal dan
penglibatan peserta seperti berlakon,
simulasi dan menggunakan anggota badan. Untuk menghasilkan PdP ibadat haji yang
menarik, setiap PEKTA perlu memahami
konsep ini dan mampu mengaplikasikannya dengan menggabungkan ketiga-tiganya
sekaligus (Othman 2016). Antara kaedah yang sering digunakan oleh PEKTA dalam kursus
haji:
i.
Kaedah Syarahan,
Kuliah dan Penerangan
Selama empat bulan KAH
diadakan di masjid-masjid terpilih seluruh Malaysia. Ianya dikendalikan oleh
PEKTA secara mingguan. Dalam kursus ini, PEKTA menggunakan kaedah syarahan,
kuliah dan penerangan kepada peserta. Menurut Kamarul (2007) kaedah pengajaran
ini lebih banyak melibatkan guru dalam memberikan huraian dan penjelasan kepada
pelajar. Tujuan kaedah ini adalah untuk menyampaikan sesuatu pengajaran kepada
pelajar supaya dapat merangsang mereka, menjelas dan membuat rumusan pelajaran,
membuat penelitian dan ulang kaji, mengembangkan isi pengajaran dan
menyampaikan maklumat yang telah dirancang. Atan Long (1980) menjelaskan bahawa guru dianggap sebagai individu yang mengetahui
segala-galanya dan pelajar sebagai individu yang tidak mengetahui apa-apa. Ini
menunjukkan kepada kita bahawa guru mempunyai pengetahuan yang luas manakala
pelajar boleh diibaratkan sebagai ‘tin yang kosong’. Melalui kaedah ini,
pelajar mendengar pengajaran guru, mencatat nota dan memikir semula isi
pengajaran selepas pengajaran. Dalam kursus haji, pesertanya terdiri daripada
orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan. Oleh itu, PEKTA
perlu merancang pengajarannya dengan baik supaya objektif kursus tercapai.
Kebanyakan PEKTA
menggunakan kaedah syarahan, kuliah dan penerangan dalam semua tajuk Modul
Bersepadu Ibadat Haji. Kaedah ini sesuai untuk orang awam dewasa yang sentiasa terdedah
dengan kaedah syarahan dan kuliah di masjid atau surau. Setiap minggu kursus haji bermula pada pukul 9.00 pagi dan
tamat pada pukul 11.30 pagi. Pengajaran dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi
pertama pada pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan sesi kedua pada pukul 10.30
pagi hingga 11.30 pagi. PEKTA akan memulakan sesi pengajaran dengan ucapan talbiah
beramai-ramai. Kebiasaannya PEKTA sendiri yang memimpin ucapan talbiah dan
terdapat juga PEKTA yang menggunakan bahan bantu mengajar seperti video semasa
mengucapkan talbiah. Seterusnya PEKTA menerangkan sesuatu tajuk dengan merujuk
kepada power point yang telah disediakan dan para peserta dibekalkan
dengan Buku Nota KAH sebagai rujukan semasa PdP.
Pada peringkat
kursus asas ini, PEKTA banyak menerangkan tentang konsep-konsep haji dan umrah.
Kaedah syarahan, kuliah dan penerangan digunakan dalam menghuraikan tajuk-tajuk
kursus iaitu Falsafah dan Penyucian Jiwa, Pengenalan Haji
dan Umrah, Rukun Haji, Wajib Haji, Aurat dan Izin Suami, Ibadat Umrah dan Niat
Bersyarat, Taharah dan Solat, Permasalahan Darah Wanita dan Tawaf Wada’ dan
Ziarah Madinah. Namun begitu, PEKTA bukan hanya bergantung kepada satu kaedah
sahaja, kaedah pengajaran dipilih mengikut kesesuaian tajuk.
ii.
Kaedah Bercerita
PEKTA banyak menggunakan kaedah bercerita
semasa membincangkan tajuk Sejarah dan Pengenalan Tanah Suci dan Kelebihan. Kaedah ini merupakan salah satu teknik yang mampu
menerapkan aspek pembangunan insan. Malah keadah ini adalah antara cara
al-Quran memberikan didikan akhlak kepada manusia melalui cerita atau kisah
para Rasul dan Anbia' seperti kisah Nabi Yusuf a.s., Nabi Ibrahim a.s, Nabi
Musa a.s dan sebagainya. Dalam al-Quran juga diceritakan tentang kisah Ashabul
Kahfi, Iskandar Zulkarnain dan Lukman al-Hakim (Kamarul 2007). Oleh itu
dalam KAH, PEKTA menggunakan kaedah ini untuk menceritakan tentang sejarah Nabi
Adam dan Hawa, Tanah Haram Mekah, Kaabah dan Masjidil Haram, Peristiwa Nabi
Ibrahim, Hajar, Nabi Ismail dan air zam-zam, sejarah Masya’ir haji iaitu
Arafah, Muzdalifah dan Mina dan sirah perjalanan haji Rasulullah saw
berdasarkan kepada peristiwa Hajjatul Wada’. Pengajaran daripada cerita-cerita
ini dapat dirumuskan agar para jemaah haji menjaga adab-adab di Tanah Suci,
memanfaatkan kelebihan berada di Tanah Suci sebagai tetamu Allah dan khusyuk
dalam beribadat kepada Allah (Lembaga Tabung Haji 2014).
iii.
Kaedah Dialog,
Perbincangan dan Soal Jawab
Seterusnya dalam membicarakan soal
hukum hakam haji dan umrah. Kaedah dialog dan perbincangan
melalui soal jawab. Kaedah soal jawab
bersifat dua hala iaitu soalan daripada pengkursus kepada peserta dan
sebaliknya. Sesi soal jawab kebiasaannya diadakan pada bahagian akhir
pengajaran, namun para peserta tidak dihalang untuk mencelah bagi mengemukakan
sebarang soalan semasa penerangan disampaikan. Kamarul (2007) menjelaskan tujuan kaedah ini adalah untuk merangsang
pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daripada interaksi antara guru dan
murid. Sebagaimana yang diketahui, kaedah menyoal dapat membangkitkan
kecerdasan dan menggalakkan berfikir. Keadaan ini dapat membuatkan seseorang
itu menumpukan perhatian fikirannya terhadap apa yang sedang diingati.
Bagi PEKTA yang baharu dilantik untuk
mengendalikan kursus, mereka perlu berhati-hati dan jangan terburu-buru dalam menjawab
sebarang permasalahan hukum. Sekiranya kurang jelas tentang sesuatu isu yang
dibangkitkan, PEKTA boleh memohon keizinan untuk menjawabnya pada sesi akan
datang. PEKTA boleh merujuk persoalan tersebut dalam buku Soal Jawab Haji dan
Umrah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. PEKTA juga digalakkan menjadi
ahli dalam kumpulan whatsapp dan telegram PEKTA untuk memudahkan mereka membuat
rujukan kepada ahli kumpulan tersebut.
Antara tajuk-tajuk yang banyak
menimbulkan kekeliruan hukum-hakam ialah berkenaan dengan Rukun dan Wajib Haji,
Larangan Semasa Ihram dan Dam dan
Permasalahan Darah Wanita. Kebiasaannya tajuk berkaitan dengan
pemasalahan darah wanita dan isu-isu wanita dikendalikan oleh PEKTA wanita. Kadang-kala
kaedah soal jawab dilakukan secara bersemuka antara PEKTA dengan beberapa orang
peserta yang musykil selepas sesi pengajaran. Soal jawab secara bersemuka lebih
berkesan dan memberi kepuasan kepada peserta. Soal jawab merupakan salah satu
kaedah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dengan malaikat Jibril dalam
usaha menyampaikan pengajaran agama kepada para sahabat. Ianya sangat berkesan
kerana hanya menfokuskan kepada topik yang kurang jelas sahaja.
iv.
Kaedah Tunjuk
Cara dan Demonstrasi
Keberkesanan pengajaran akan dicapai
apabila PEKTA mempelbagaikan kaedah penyampaian terutamanya apabila berhadapan
dengan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan usia. Sesetengah
tajuk tidak memadai disampaikan dalam bentuk syarahan semata-mata, bahkan ia
perlu kepada kaedah lain yang lebih berkesan. Oleh itu, kaedah tunjuk cara atau
demonstrasi digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji untuk mengajar cara-cara
memakai kain ihram dengan betul, cara-cara solat hormat waktu, berwuduk
menggunakan spray, tayammum dan cara-cara melontar di jamrah. Menurut Azizi
(2008) kaedah demonstrasi merupakan teknik yang paling berkesan untuk kemahiran
psikomotor. Menerusi kaedah pengajaran ini, pelajar-pelajar akan dapat
mencontohi tunjuk cara yang dilakukan oleh guru sewaktu pengajaran dengan lebih
tepat.
Kaedah ini melibatkan individu tertentu menunjukkan cara
membuat sesuatu atau menghasilkan sesuatu di hadapan idividu-individu lain.
Teknik ini menekankan kepada pemusatan perhatian pelajar-pelajar terhadap
langkah-langkah atau prosedur, atau peraturan-peraturan yang terlibat dengan
sesuatu proses ‘manual’. Tujuan kaedah ini ialah untuk menunjukkan sesuatu
prinsip supaya pelajar dapat melakukan sesuatu itu dengan cara yang sistematik,
teratur, kemas dan berkesan. Apabila sesuatu demontrasi ditunjukkan dengan cara
yang berkesan, maka para pelajar akan dapat meniru perilaku guru tadi, dan
kaedah ini juga boleh dipanggil ‘peniruan pasif’(Abdul Rahim dan Mohd Zawawi
2011).
v.
Kaedah Simulasi
Kaedah yang sangat penting dan berkesan dalam kursus haji
sama ada KAH, KIH atau KPH ialah simulasi. Kaedah ini adalah merupakan satu
kaedah di mana satu situasi diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dan ia
melibatkan para peserta melakukan sesuatu perkara (secara berpura-pura) dalam
suasana yang terancang (Norzihan 2009). Keadaan
yang diwujudkan sama
dengan situasi sebenar dan ianya bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Melalui kaedah ini, pelajar-pelajar akan melakukan pembelajaran melalui
aktiviti lakonan secara teratur dan dikawal. Lazimnya kaedah pengajaran jenis
simulasi ini adalah bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan
membina sifat positif pada peserta (Azizi 2008).
Menurut Buku Panduan Am Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (1981) simulasi dinyatakan sebagai satu teknik PdP di
mana murid-murid mengajuk dan melakukan sesuatu secara pura-pura, tetapi dalam
keadaan tersusun. Perkara-perkara yang boleh diajukkan atau dilakukan secara
pura-pura ada1ah seperti sesuatu peristiwa, masalah dan situasi dalam konteks
yang sebenar. Simulasi boleh menunjukkan keadaan yang berbagai-bagai seperti
yang terdapat dalam kehidupan manusia atau situasi sebenarnya. Dalam pengajaran
haji, PEKTA akan melakukan simulasi haji bermula daripada niat Ihram sehingga urusan haji selesai iaitu tahallul. Model
Kaabah disediakan untuk melakukan tawaf tujuh pusingan, tempat sa’ie antara
Bukit Safa ke Bukit Marwah ditandakan dengan lampu hijau untuk berlari
anak-anak, lokasi seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina disusun kedudukannya bagi
memudahkan pergerakan jemaah pada hari-hari haji. Para peserta juga melakukkan
simulasi melontar dengan anak-anak batu di ketiga-tiga jamrah yang telah
disediakan.
Implikasi Kaedah Berkesan Dalam Pengajaran
Berdasarkan kaedah-kaedah
yang digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji ini, ianya amat membantu para
peserta memahami ibadat haji dengan lebih baik
berbanding dengan kaedah dahulu yang lebih berpusat kepada guru
semata-mata. Namun, tidak semua kaedah yang berpusatkan pelajar dapat
dilaksanakan dalam PdP kerana melihat kepada latar belakang peserta yang
pelbagai dan bilangan peserta yang terlalu ramai. Oleh itu, kaedah syarahan,
kuliah, penerangan dan soal jawab masih relevan dan penambahbaikan dilakukan
dengan penyediaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti power point yang seragam seluruh Malaysia. Tujuannya adalah untuk
memastikan bakal jemaah haji Malaysia mendapat input yang sama walaupun berada
di negeri yang berbeza. Ianya juga dapat dapat mengelak PEKTA daripada meleret
semasa penyampaian dan tidak fokus kepada tajuk yang meyebabkan peserta jemu.
Sehubungan itu, jemaah haji Malaysia sentiasa mendapat pujian daripada Kerajaan
Arab Saudi atas sikap dan disiplin yang baik ditunjukkan sepanjang musim
haji.
Penyampaian PEKTA yang berkesan dengan kaedah pengajaran yang menarik
banyak mempengaruhi pemahaman peserta kursus haji. Selain daripada kaedah yang
digunakan, PEKTA juga menguasai kandungan MBHB dengan baik supaya penyampaian
lebih jelas dan menyakinkan peserta. PEKTA berperanan untuk menjelaskan kepada
peserta sehingga mereka mampu menggambarkan kronologi perjalanan haji ini
dengan jelas. Tidak dinafikan bahawa kaedah yang digunakan tidak dapat memenuhi
sepenuhnya kehendak pengajaran. Terdapat peserta daripada warga emas yang sukar
untuk menguasai ilmu-ilmu haji disebabkan faktor usia. Oleh itu, Bahagian
Bimbingan mengadakan ujian penilaian untuk mengukur kefahaman peserta yang
terpilih untuk menunaikan haji. Bagi mereka yang gagal dalam ujian tersebut,
KKH diadakan untuk mereka dalam kumpulan yang kecil iaitu 10 hingga 20 peserta.
Kaedah pengajaran yang sama digunakan dalam kursus ini, cuma pendekatannya
adalah berbeza kerana dalam kumpulan yang kecil. PEKTA berusaha memahami
permasalahan yang dihadapi oleh setiap peserta dan kaedah soal jawab dan dialog
lebih banyak digunakan dalam PdP.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada
perbincangan dalam kajian ini, dapatlah disimpulkan bahawa kaedah pengajaran
yang digunakan oleh PEKTA dalam kursus haji ini amat membantu orang awam
memahami perjalanan ibadat haji dengan lebih baik. Kepelbagaian kaedah
pengajaran seperti kaedah syarahan, kuliah, penerangan, bercerita, dialog, perbincangan, soal
jawab, tunjuk cara, demonstrasi dan simulasi amat perlu bagi meningkatkan kefahaman peserta dan
menarik minat mereka untuk menghadiri kursus haji. Namun, kaedah latihan dalam
kumpulan dan pembentangan kurang sesuai digunakan dalam kursus haji kerana
masih ramai peserta yang belum dapat menguasai konsep-konsep asas dalam ibadat
ini dan jumlah peserta yang ramai. Pada masa yang sama, PEKTA perlu
menghabiskan tajuk dalam MBHB mengikut jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu,
kaedah pengajaran haji yang diamalkan sekarang masih relevan dan penambahbaikan
dari aspek kreativiti dan inovasi PEKTA perlu dilakukan supaya orang ramai tidak
jemu untuk mengikuti kursus haji yang diadakan setiap tahun dengan kandungan
yang sama. Justeru, latihan pengajaran kepada PEKTA perlu ditingkatkan lagi
supaya selari dengan perkembangan semasa dan citarasa jemaah masa kini.
Rujukan
Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002. Kemahiran berfikir merentasi kurikulum:
Pendekatan pedagogi dan wawasan pendidikan bestari. Shah Alam: Penerbit
Fajar Bakti.
Abdul Rahim Hamdan dan
Mohd Zawawi Ismail. 2011. Kesesuaian Isi Kandungan, Masa, Kemudahan dan Alatan
dan Kaedah Tunjuk Cara (Demonstrasi) dalam Mata Pelajaran Kemahiran Teknikal dari
Perspektif Guru-Guru Kemahiran Hidup di Sekolah Menengah di Daerah Kuala Krai,
Kelantan. Journal of Technical,
Vocational & Engineering Educational Volume 3 Sept.: 14-32.
Atan Long. 1980.
Psikologi Pendidikan . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Azizi Yahaya dan Chu Siew Pang. 2008. Kaedah Pengajaran Guru Dalam Penggunaan
Alatan Tangan. Sekudai:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah
Pengajaran & Pembelajaran. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi
Malaysia.
Kementerian Pelajaran
Malaysia. 1981. Buku Panduan Am Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lembaga Tabung Haji. 2015. Ibadat
Haji, Umrah dan Ziarah. Kuala Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Lembaga Tabung Haji. 2014. Modul
Kursus Asas Haji Musim Haji 1435H. Kuala Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan
Haji.
Lembaga Tabung Haji.2015. Nota Kursus Asas Haji. Kuala Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Lembaga Tabung Haji. 2013. Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah
dan Ziarah. Kuala Lumpur: Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Norzihan binti Zakaria. 2009. Penggunaan Teknik Simulasi dalam Meningkatkan
Pemahaman Pelajar dalam Mata pelajaran Sejarah. SMK Sri Tapah.
Othman Ab. Rahman. 2016. “Kaedah Pengajaran Berkesan Pembimbing Ibadat Haji
dan Umrah”. Kertas kerja Kursus Sijil Pembimbing Ibadat Haji, 28 Mei hingga 2
Jun 2016, USIM.
Portal Lembaga
Tabung Haji. http://www.tabunghaji.gov.my/bimbingan.
Surat Pelantikan Pengkursus Kursus Asas Haji (KAH) 1438H Untuk Negeri/ Daerah Wilayah Pesekutuan. 8 Disember 2016.
No comments:
Post a Comment