Masjid Telok Kemang Port Dickson
ULAMA DAN SISTEM PERUNDANGAN ISLAM: KE ARAH KEAMANAN DAN KEADILAN
ADMIN PMWP 14 APRIL 2019
Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada 15 April 2019 bersamaan 7 Sya’ban 1440 Hijrah, kami diundang oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei untuk menghadiri Muzakarah Ulama’ Nusantara Mazhab Syafi’ie. Kami ditaklifkan untuk membentangkan kertas kerja dengan tajuk Ulama dan Sistem Perundangan Islam: Ke Arah Keamanan dan Keadilan.
Alhamdulillah, pembentangan berlaku selepas ucaptama dan perasmian oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Dr. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Kami mendapat banyak input hasil daripada pembentangan tersebut dan sempat berkenalan dengan beberapa tokoh sama ada dari Indonesia, Pattani dan juga Negara Brunei sendiri.
Justeru, kami terpanggil untuk menjadikan bahan ucapan kami tersebut dalam siri Bayan Linnas pada kali ini agar dapat memberi manfaat kepada khalayak masyarakat. Kami mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada UNISSA dan pengurusannya serta kerajaan Brunei yang telah memberikan layanan istimewa kepada rombongan kami dalam tempoh lawatan ke negara tersebut. Kami lafazkan jazakumullahu khairal jaza’ wa barakallahu lakum.
Takrif Keadilan dan Perundangan Islam
Menurut Ibn Manzur, keadilan pada bahasa ialah tidak berat sebelah atau menetapkan sesuatu dengan benar. Dari segi konsep, beliau menyebut:
العَدلُ ما قامَ في النُّفوسِ أنَّه مُستَقيمٌ وهو ضِدَّ الجور
Bahawa yang dimaksudkan dengan keadilan ialah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-‘Arab, 11/430)
Sayyid Sabiq berkata: Keadilan adalah menyampaikan segala sesuatu yang menjadi haknya sekaligus menjaga atau memelihara dan menjauhi yang bukan haknya sesuai dengan kadar/ketentuan haknya masing-masing. (Lihat ‘Anasir al-Quwwah fi al-Islam oleh Sayyid Sabiq)
Undang-undang Islam pula dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Syariah atau Syariat. Dari sudut bahasa, syariat bermaksud segala apa yang ditetapkan oleh Allah kepada hamba-Nya berupa al-Din (agama). Skop Syariat ini adalah menyeluruh dan luas meliputi soal ibadah, kekeluargaan, jenayah, muamalat, siyasah dan lain-lain. (Lihat Panduan Memahami Syariat Islam (terjemahan) oleh Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 6-9)
Perkataan syariat adalah pecahan dari perkataan Syarak yang antara lain membawa maksud jalan ke arah air atau tempat keluar mata air yang airnya tidak pernah putus dan tidak memerlukan alat untuk mendapatkannya. (Lihat Mu’jam Alfaz al-Qur’an, 2/12)
Syeikh Mahmud Syaltut dalam al-Islam Aqidah wa Syari’ah berkata, perkataan Syari’ah bermaksud jalan menuju sumber air yang tidak pernah kering. Perkataan Syari’ah juga diertikan sebagai jalan yang terbentang lurus. Hal ini sangat relevan dengan fungsi Syari’ah bagi kehidupan manusia, baik dalam hubungannya dengan Tuhan mahupun dengan umat manusia, orang Islam mahupun non muslim dan alam sekitarnya. (Lihat al-Islam Aqidah wa Syari’ah, hlm. 12)
Muhammad Mustafa Syalabi pula menyebut, syari’ah ialah sesuatu yang dirujuk kepada sejumlah hukum Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, yang terakam dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. (Lihat al-Madkhal fi al-Ta’rif bi al-Fiqh al-Islami, hlm. 28)
Keadilan Perundangan Islam dalam Catatan Sejarah
Lipatan sejarah Islam telah menyaksikan betapa sistem perundangan Islam telah menjamin keadilan dan keamanan bagi segenap lapisan rakyat dan masyarakat. Kami kemukakan di sini beberapa catatan keadilan Islam dalam catatan sejarah:
Pada zaman beliau, wilayah-wilayah Islam yang telah berkembang luas telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang gabenor. Mereka diberi kuasa dalam menguruskan urusan-urusan pentadbiran termasuklah memungut cukai di bahagian masing-masing. Walaubagaimanapun, kuasa mutlak dalam memutuskan sesuatu kes atau masalah berkaitan cukai tanah akan dirujuk kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab R.A.
Tanah-tanah tersebut akan diukur dan dinilai terlebih dahulu sebelum ditentukan kadar cukai. Tanah yang telah ditentukan jenisnya itu, kemudian akan ditetapkan kadar cukai mengikut jenis tanah tersebut. Hal ini jelas menunjukkan keadilan sistem yang diterapkan oleh Khalifah Umar RA dalam sistem pemerintahannya. (Lihat Milkiyyat al-‘Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)
Berkenaan kadar cukai pertanian, Khalifah Umar RA telah menetapkan iaitu 10 dirham bagi tanaman kurma dan 5 dirham bagi tanaman anggur. Cukai bagi setiap tanah yang sampai air sama ada diusahakan atau tidak adalah sebanyak satu dirham atau satu gantang (sa’). Manakala cukai sebanyak 1/10 dikenakan ke atas tanaman tamar yang diairkan dengan hujan sedangkan kadar 1/20 pula dikenakan untuk tanaman yang diairkan dengan tenaga sendiri. (Lihat Kitab al-Kharaj oleh Abu Yusuf, hlm. 46-47)
Walaupun begitu, sekiranya sesuatu tanah tidak mempunyai hasil pertanian, atau hasilnya terkena penyakit atau bencana alam, maka cukai tidak dikenakan. Cukai hanya dikenakan bagi tanah yang mempunyai hasil. Penetapan cukai kurma dengan kadar 10 dirham adalah disebabkan penanamannya yang memerlukan kepada tenaga, penjagaan yang rapi serta tanah yang subur.
Manifestasi keadilan pemerintahan Khalifah Umar RA dalam menentukan kharaj jelas terlihat dengan mengenakan cukai sebanyak satu dirham dan segantang bagi tanah yang sampai air sama ada ia diusahakan atau sebaliknya. Ini juga dapat menggalakkan para pemilik tanah untuk mengusahakannya. Begitu juga sikap adil beliau dapat dilihat pada kadar cukai 1/10 dan 1/20 sepertimana yang dijelaskan menzahirkan sikap beliau dalam menilai dan menghargai tenaga yang dicurahkan oleh pengusaha. (Lihat Milkiyyat al-‘Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)
Kami tutup perbincangan Saidina Umar ini dengan ungkapannya:
لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطِّ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Kalaulah mati seekor kambing di tebing Sungai Furat dalam keadaan kehilangan rakan taulannya, nescaya aku merasa Allah SWT akan bertanya kepadaku pada Hari Kiamat. (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abi Nu’aim, 1/53)
Pada zaman beliau juga telah menyaksikan banyak perkara keadilan ditegakkan. Dicatatkan, pada suatu ketika, penduduk kota Samarkand telah mengadu kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan panglima pasukannya Qutaibah dan pasukan tenteranya yang telah masuk dan memerangi negara mereka tanpa memberi peringatan terlebih dahulu sebagaimana diwajibkan oleh Syari'at Islam.
Amirul Mukminin kemudiannya lalu mengarahkan al-Qadhi untuk menghakimi pengaduan tersebut. Akhirnya al-Qadhi memutuskan agar pasukan Islam hendaklah keluar dari kota Samarkand. Keputusan ini memberi kemenangan kepada penduduk Samarkand.
Setelah penduduk Samarkand menyaksikan manifestasi keadilan Islam tersebut, mereka mengumumkan pengislaman mereka serta memuji sistem pengadilan Islam dan pasukan penaklukan. Mereka juga menyatakan penerimaan mereka terhadap hukum negara Islam. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 4/69)
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz juga sangat menonjol dengan sistem pemerintahannya yang benar-benar good governance. Hal ini telah disebut oleh Ibn Khaldun dan beliau telah memujinya dalam kitab al-Muqaddimah.
Keadilan Khalifah Umar juga jelas ketikamana menaiki takhta, beliau mengambil tindakan untuk tidak mempunyai pengawal peribadi seperti sebelumnya. Begitu juga, beliau amat berhati-hati berkenaan dengan harta sehingga banyak yang dimasukkan semula ke Baitul Mal. Antara kelebihan Umar bin Abdul Aziz juga, ramai para ulama memberi nasihat kepadanya, sementelahan lagi ketika itu ramai tokoh-tokoh ulama yang ikhlas dan tegas. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah (9/221).
Pada masa itu, jawatan Qadhi dipegang oleh Abu Yusuf. Suatu ketika, datang seseorang bersama Sultan al-Hadi, iaitu Sultan Abbasiyah bagi menyelesaikan persengketaan berkenaan sebuah kebun. Setelah meneliti, Qadhi Abu Yusuf mendapati bahawa kebenaran berada di pihak orang tersebut, sedangkan Sultan datang membawa beberapa orang saksi. Lantas al-Qadhi berkata: “Lawan anda meminta agar anda bersumpah bahawa para saksi tersebut jujur.” Namun Khalifah al-Hadi tidak mahu bersumpah, kerana perkara tersebut merendahkan maruahnya. Akhirnya Abu Yusuf mengembalikan kebun itu kepada pemiliknya. (Lihat Tarikh Baghdad, 14/249)
Semasa penaklukan semula Palestin, dicatatkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. (Lihat Kitab al-Fath al-Qussi fi al-Fath al-Qudsi oleh Imad al-Din al-Isfahani, hlm. 43) Berbanding apa yang telah dilakukan oleh tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini yang telah dikenakan hukuman bunuh, Salahuddin sebaliknya mengambil sikap memaafkan kepada masyarakat Kristian. Malah, kesemua mereka dibebaskan setelah membayar wang tebusan diri iaitu bagi lelaki 10 dinar, perempuan sebanyak 5 dinar dan kanak-kanak dikenakan 2 dinar. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)
Orang-orang miskin seramai 7000 orang juga telah dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar secara sekaligus. Walaubagaimanapun, sekiranya wang tebusan diri tersebut tidak mampu dibayar oleh sebahagian mereka, maka secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.
Hal ini mencerminkan kebaikan, keselamatan dan keamanan Islam itu sendiri kerana pendekatan yang diambil oleh Salahuddin tersebut menjadikan pertempuran dan pertentangan dapat dielakkan. Ini sekaligus menatijahkan tragedi kehilangan nyawa dan pertumpahan darah yang dahsyat dapat dielakkan.
Dicatatkan bahawa Salahuddin turut membekalkan sejumlah wang dan haiwan tunggangan apabila beliau melihat ada para tebusan yang membawa ibu bapa dan saudara tetangga yang telah berumur. Ini berlaku dalam kalangan mereka yang telah membayar wang tebusan diri untuk bebas. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)
Bahkan, bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju, Salahuddin turut mengarahkan tenteranya agar mengiringi para tebusan tersebut. (Lihat Saladin and the Fall of Jerusalem oleh Geoffrey Regan hlm. 150-151)
Hal ini jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam yang penuh dengan keramahan, keamanan, keharmonian, toleransi dan keadilan dalam membentuk satu sistem kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan damai.
Raja’ bin Haiwah[5]: Penasihat Sultan yang Bijaksana
Kerajaan Umawiyyah tertubuh pada 41H/ 661M setelah Khalifah al-Hasan bin ‘Ali menyerahkan kekuasaan kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Pemerintahan kerajaan ini berlangsung selama 91 tahun dengan dipimpin oleh keturunan-keturunan Bani Umayyah. Kerajaan Bani Umayyah memiliki penasihat-penasihat yang terdiri daripada para ulama yang mempunyai keluasan dalam ilmu serta pemikiran yang tajam.
Penasihat yang paling menonjol bernama Raja’ bin Haiwah. Beliau sentiasa memberikan pandangan-pandangan yang cerdas, bijak dan diredhai oleh Allah dalam urusan-urusan politik dan kehidupan Sultan. Beliau menjadi penasihat ketika zaman pemerintahan Sultan Sulaiman bin Abd al-Malik.
Sebelum Sultan meninggal dunia, baginda telah meminta Raja’ bin Haiwah memberi nasihat dan pandangannya berkaitan calon yang wajar menjadi pengganti khalifah. Raja’ bin Haiwah lalu berkata: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya nanti adalah apabila dia melantik orang yang soleh untuk memegang pemerintahan umat Islam.”
Sultan Sulaiman lalu mencadangkan pengganti yang bukan daripada saudara kandung, bukan juga anaknya, tetapi sepupunya iaitu Umar bin Abd al-Aziz. Sultan lalu bertanya pandangan Raja’ bin Haiwah, lalu dijawabnya: “Saya berpandangan bahawa dia seorang yang baik, seorang Muslim yang mulia, menyukai kebaikan dan sukakan orang-orang yang baik. Namun, aku bimbang saudara-saudaramu akan tidak bersetuju dengannya.”
Sultan Sulaiman lantas mengambil satu tindakan politik bertujuan agar cadangannya tersebut mendapat sokongan daripada kaum keluarga baginda. Beliau mencadangkan Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, manakala adiknya iaitu Yazid bin Abdul Malik pula sebagai timbalan (wali al-‘ahd). Baginda Sultan menulis surat rasminya dengan menyebut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim. Ini surat Sulaiman bin Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepas daripadaku dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Dengar dan taatlah kamu semua kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Janganlah kamu berselisih pendapat, jika tidak musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207)
Tindakan Sultan Sulaiman ini memberi satu jasa besar serta membawa rahmat kepada dunia Islam. Beliau mengenepikan kebiasaan dan mengambil tindakan berani dengan melantik calon yang agak jauh untuk menjadi khalifah.
Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kemudiannya sepertimana tercatat dalam sejarah, menjadi seorang khalifah yang soleh dan adil. Sepanjang tempoh pemerintahannya, keadilan yang beliau terapkan telah mencipta satu zaman pemerintahan yang gilang gemilang.
Pemerintahan beliau hanya berlangsung selama dua tahun dan beberapa bulan. Namun, telah mencatat pelbagai tindakan pembaharuan yang sangat penting. Beliau juga telah memperbetulkan kembali perjalanan tadbir urus negara Islam. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/142)
Ulama dan Sistem Perundangan Islam: Ke Arah Keamanan dan Keadilan
Dalam tajuk ini, suka kami nyatakan bahawa terlalu banyak kitab dan buku-buku berkaitan siyasah syar’iyyah dan qanun Islami sama ada yang telah ditulis oleh ulama’ terdahulu atau masa kini. Sebagai contoh Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah telah membincangkan dengan panjang lebar. Pada zaman kini pula, Syeikh Abdul Qadir Audah telah menulis melalui kitabnya al-Tasyri’ al-Jina’i fi al-Islam.
Apa yang berlaku di Malaysia, sebagai contoh pada masa dahulu dikenali dengan Tanah Melayu di mana hubungan keakraban antara pemerintah iaitu Sultan atau Raja dengan para ulama’ begitu akrab. Inilah yang berlaku di kebanyakan negeri seperti di negeri Terengganu dengan Tok Ku Paloh[6], Abdul Rahman Limbong[7] dan lain-lain di negeri Kelantan yang kaya dengan ulama’ seperti Tok Kenali[8], Tok Khurasan dan lain-lain. Samalah juga di Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan lain-lain. Mereka begitu mengambil cakna dan prihatin dalam menasihati pemerintah.
Banyak contoh yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh ulama’ berkenaan dengan keadilan dan keamanan yang sentiasa cuba ditegakkan dalam negara. Sedikit pengalaman kami sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, kami mengemukakan Bayan Linnas atau nasihat kepada ummah dan masyarakat Malaysia agar menjaga keharmonian walau apa pun yang terjadi selepas PRU. Alhamdulillah, sedikit sebanyak keadaan amat terkawal sehingga dipuji oleh tokoh-tokoh Barat dan Timur, yang menyaksikan bagaimana berlakunya transisi dengan aman.
Beberapa Syor dan Cadangan
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Surah al-Nisa’ (59)
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi menyebut, suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.
Justeru itu, setiap pemerintah dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)
Kami kemukakan di sini beberapa cadangan supaya hubungan antara ulama’ dan umara’ sentiasa subur. Antaranya:
Penutup
Para ulama’ sejak sekian lama sentiasa memainkan peranan dalam menstabilkan situasi walau ombak dan badai begitu besar melanda. Lihatlah apa yang berlaku di Mesir beberapa tahun lepas, bagaimana sikap Syeikh al-Azhar dan para ulamanya begitu tenang dengan mengambil fatwa dan pandangan Imam al-Haramain ketika suasana menjadi kaku dan tidak stabil. Dengan hikmah, hujahan dan juga sikap yang ditonjolkan akhirnya suasana menjadi tenteram dan aman. Inilah yang kita dambakan dan kita harapkan.
Imam al-Ghazali pernah menyebut: Sesungguhnya kerosakan rakyat adalah disebabkan oleh pemerintahnya, dan kerosakan pemerintahnya adalah disebabkan kerosakan ulama’, dan kerosakan ulama’ adalah disebabkan oleh cintakan harta dan kedudukan. Barangsiapa yang dikuasai oleh cita-cita duniawi, dia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil, apatah lagi pemerintahnya. Allah-lah tempat memohon segala urusan. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/381)
Nota Hujung:
[1] Saidina Umar bin al-Khattab dilantik menjadi khalifah kedua selepas kewafatan Saidina Abu Bakar. Semasa pemerintahan Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; orang Islam menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Pada tahun 637 Masihi, selepas pengepungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Patriarch Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.
[2] Umar bin Abd al-Aziz memerintah dari tahun 717 Masihi hingga tahun 720 M. Beliau dilahirkan pada tahun 682. Ada dua pendapat mengenai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Umar tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman yang juga merupakan sepupu Umar amat mengaguminya dan melantik Umar sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya.
[3] Beliau adalah Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari. Beliau dilahirkan pada tahun 113 Hijrah dan meninggal pada tahun 182 Hijrah. Beliau memiliki beberapa karya penulisa, antara yang terkenal ialah kitab al-Kharaj.
[4] Salahuddin al-Ayyubi dilahirkan dalam sebuah keluarga Kurdi dan kemudian dihantar ke Damsyik untuk proses menuntut ilmu. Ayahnya, Najm ad-Din Ayyub, ialah seorang gabenor. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik. Salahuddin kemudian menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya. Beliau terkenal dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan. Beliau juga terkenal dengan belas kasihannya semasa Perang Salib.
[5] Raja’ bin Haiwah dilahirkan di Palestin ketika akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan R.A atau dalam lingkungan sekitar masa tersebut. Beliau berbangsa Arab. Semenjak kecil lagi, beliau membesar dalam suasana yang penuh dengan ketaatan kepada Allah. Beliau sempat mempelajari ilmu daripada para sahabat yang terkemuka seperti Abu Sa’id al-Khudri, Abu Darda’, Abdullah bin Amru bin al-As dan ramai lagi. Raja’ bin Haiwah pernah menjawat jawatan penasihat kepada beberapa orang khalifah Bani Umayyah bermula daripada zaman Abdul Malik bin Marwan hinggalah ke zaman Umar bin Abdul Aziz.
[6] Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan 1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Ketika meninggal dunia, Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi. Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diceritakan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. “Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Lihat "Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu" oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Utusan Malaysia 18/09/2006. Lihat juga Wikipedia di bawah tajuk Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus [https://ms.wikipedia.org/wiki/Saiyid_Abdur_Rahman_bin_Saiyid_Muhammad_al-Aidrus#Kegiatan_Anti-Penjajah].
[7] Haji Abdul Rahman Limbong atau nama lengkapnya, Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir (1868 - 1929), merupakan seorang pendakwah dan pejuang yang berasal dari Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong lahir dalam tahun 1285 H/1868M di Terengganu. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu, beliau mendapat pendidikan daripada Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh. Haji Abdul Rahman Limbong juga, seperti gurunya Tok Ku Paloh, ialah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah. Dalam tahun 1920-an, Inggeris bercampur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.Sungguhpun Haji Abdul Rahman Limbong seorang ahli sufi, akan tetapi beliau juga bijaksana dalam selok-belok persoalan dunia. Haji Abdul Rahman Limbong ialah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Pernyataan ini dapat dibuktikan dengan lantaran betapa banyak kalinya beliau berhujah di mahkamah demi membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdul Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah menyatakan bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu ialah hak Allah, bukannya hak negeri dan ialah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. (Lihat Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, oleh Abdul Rahman Haji Abdullah. Lihat juga Wikipedia di bawah tajuk Abdur Rahman bin Abdul Hamid [https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdur_Rahman_bin_Abdul_Hamid]
[8] Tok Kenali atau nama penuhnya Muhammad Yusuf bin Ahmad lahir pada 1868 dan meninggal dunia pada 1933. Beliau ialah seorang tokoh ulama’ ulung, guru agama Islam yang agung, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia dan pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, di awal abad ke-20. Beliau dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pada tahun 1287H (1870M) dengan nama Muhammad Yusof iaitu di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886M). Bapanya seorang petani bernama Ahmad, manakala Fatimah bt Salleh, ibunya adalah seorang insan yang sopan dan bercita-cita tinggi dan murni. (Lihat Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, oleh Abdul Rahman Haji Abdullah. Lihat juga Wikipedia di bawah tajuk Muhammad Yusuf bin Ahmad [https://ms.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Yusuf_bin_Ahmad]
No comments:
Post a Comment